Pemandu bas maut tersepit

Mangsa maut di lokasi kejadian selepas kereta dipandu terbabas di Jalan Bandar Mas-Lok Heng malam tadi. (Gambar kecil, Md Lani Kutiran)
Mangsa maut di lokasi kejadian selepas kereta dipandu terbabas di Jalan Bandar Mas-Lok Heng malam tadi. (Gambar kecil, Md Lani Kutiran)
A
A
A

KOTA TINGGI - Seorang pemandu bas maut selepas kereta dipandu terbabas dalam kejadian kemalangan di Jalan Bandar Mas-Lok Heng malam tadi.

Mangsa, Md Lani Kutiran, 58, memandu kereta jenis Proton Wira Aeroback maut di lokasi kejadian selepas tersepit dalam kejadian itu.

Pegawai Operasi Balai Bomba Penyelamat Bandar Penawar, Pegawai Bomba Mohd Hafiz Rasif berkata, pihak bomba menerima maklumat kejadian pada jam 9.48 malam.

Menurutnya, seramai enam anggota dengan sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian dan berjaya menamatkan operasi pada jam 11 malam.

"Setibanya pasukan bomba dan penyelamat di tempat kejadian, didapati benar berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta jenis Wira Aeroback terbabas di tepi jalan.

"Kenderaan dari arah Sungai Mas menghala Felda Lok Heng. Ketika pihak bomba tiba di lokasi terdapat mangsa tersepit di bahagian pemandu.

"Pihak bomba ambil masa 30 minit untuk keluarkan mangsa. Terdapat seorang mangsa yang meninggal dunia dan telah disahkan oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, pihak bomba menyerahkan barangan peribadi mangsa kepada pihak polis untuk diserahkan kepada waris mangsa.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah ketika dihubungi mengesahkan laporan kejadian diterima pada jam 10.15 malam.

Katanya, mangsa yang tinggal di Felda Lok Heng Barat dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk urusan bedah siasat.

"Kes masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.