Bermandi darah lawan komunis

Bahari sebak saat mengenang semula peristiwa berdarah yang hampir meragut nyawanya ketika ditemui di Pejabat Persatuan Kebajikan Bekas Anggota Skuad 69 Polis Diraja Malaysia (PDRM), di Taman Bullion Mewah, Batu Caves, baru-baru ini. (Gambar kecil, Bahari ketika menjadi anggota semboyan Polis Hutan.)
Bahari sebak saat mengenang semula peristiwa berdarah yang hampir meragut nyawanya ketika ditemui di Pejabat Persatuan Kebajikan Bekas Anggota Skuad 69 Polis Diraja Malaysia (PDRM), di Taman Bullion Mewah, Batu Caves, baru-baru ini. (Gambar kecil, Bahari ketika menjadi anggota semboyan Polis Hutan.)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dalam mengecapi nikmat 62 tahun merdeka, generasi milenium hari ini wajar terus menghargai pengorbanan perajurit negara yang berjuang membebaskan Malaysia daripada cengkaman penjajah.

Walau telah beberapa dekad perjuangan melawan penjajah dan menentang komunis berlalu, namun pengorbanan perwira-perwira tidak didendang ini perlu terus diceritakan agar bagi memberikan kesedaran dalam diri anak-anak merdeka hari ini.

Bagi bekas anggota semboyan Polis Hutan, Bahari Ismail, 69, misalnya, detik-detik getir berperang dengan komunis tidak mampu dilupakan sehingga akhir hayatnya.

Manakah tidak, cerita Bahari, beliau bukan sahaja pernah dibedil 11 butir peluru oleh anggota komunis, bahkan lebih menyentuh hati empat daripada 11 butir peluru itu masih tertanam dalam tubuhnya sehingga kini.

"Pada tahun 1976, saya kena tembak sewaktu diserang hendap oleh kira-kira 40 pengganas komunis ketika dalam konvoi menaiki Land Rover bersama pasukan Senoi Praaq (Orang Perang), dari Klian Intan ke Kroh Perak dengan melalui jalan yang bengkang-bengkok.

"Tiba di satu satu selekoh, Land Rover kami secara tiba-tiba dihujani peluru pengganas komunis dan saya terus melompat keluar dari kenderaan untuk berlindung pada bahagian tayar.

"Saya tak sedar terkena tembakan 11 butir peluru sehinggalah darah meleleh keluar. Empat butir peluru tertanam pada dada manakala selebihnya tembus pada bahagian tubuh yang lain," katanya sebak saat mengenang semula peristiwa berdarah yang hampir meragut nyawanya ketika ditemui di Pejabat Persatuan Kebajikan Bekas Anggota Skuad 69 Polis Diraja Malaysia (PDRM), di Taman Bullion Mewah, Batu Caves baru-baru ini.

Bahari (kiri) bergambar kenangan dengan tentera dari negara lain sewaktu bertugas di Kemboja pada tahun 1992.
Bahari (kiri) bergambar kenangan dengan tentera dari negara lain sewaktu bertugas di Kemboja pada tahun 1992.

Artikel Berkaitan:

Menurut Bahari, kira-kira 45 minit sementara menunggu bantuan sampai, dia bersama tiga lagi rakan setugas sempat melepaskan tembakan menggunakan pistol sehingglah mereka diberi bantuan oleh rakan-rakan seperjuangan lain yang tiba dengan kereta perisai.

Dia kemudian dibawa ke Hospital Alor Setar dan selepas itu dirawat di Hospital Kuala Lumpur selama sebulan sebelum kembali menjalankan tugas menjaga kedaulatan negara dalam pasukan polis sehingga 25 tahun kemudian.

"Bukan setakat peristiwa serangan hendap itu tidak luput dari ingatan saya, tetapi kejadian sewaktu bertugas di Keramat, Pulai, Johor pada Jun 1976 juga terpahat di hati.

"Paling menyayat hati, dalam kejadian itu dua rakan kerja saya terbunuh. Saya masih ingat dalam keadaan gelap, rakan saya Sarjan Ramli sempat mengarahkan saya menghubungi kuartes tetapi selepas tamat serangan, suara dia tidak kedengaran lagi," katanya sebak.

Bahari tidak dapat menahan sedihnya apabila terkenangkan Sarjan Ramli yang terkorban dengan meninggalkan 12 anaknya ketika itu.

Seorang bekas ahli pasukan Polis Hutan merangkap Timbalan Presiden Persatuan Kebajikan Bekas Anggota Polis Skuad 69 PDRM, Datuk Alias Abd Rahman turut menceritakan, semua perajurit termasuk pasukan Polis Hutan ketika itu berdepan risiko diserang komunis dan perasaan itulah suatu bentuk pengorbanan sejati.

“Dalam tempoh seminggu pada Hari Parti Komunis Malaya, kami tidak membuat operasi kerana risiko untuk diserang sangat tinggi. Pengganas komunis ketika itu mahu menunjukkan kekuatan mereka dengan membuat serangan dan membunuh anggota keselamatan.

“Saya masih ingat, ketika memasuki hutan di sempadan Thailand dulu, kami tidak boleh tidur kerana perlu sentiasa berhati-hati terhadap serangan hendap komunis," katanya.

Dari kanan Bahari, Ramli, Alias dan Hussin berkongsi pengalaman mereka bertugas menentang komunis.
Dari kanan Bahari, Ramli, Alias dan Hussin berkongsi pengalaman mereka bertugas menentang komunis.

Menurut Alias, peristiwa 13 Mei 1969 juga masih dalam ingatannya kerana para pejuang kedaulatan negara terpaksa bertugas mengharungi suasana kacau bilau termasuk kesukaran untuk mendapatkan bekalan makanan akibat pengisytiharan darurat.

Terlalu besar perjuangan mereka yang bertugas mempertahankan kedaulatan negara sehingga Tanah Melayu yang kini makmur sebagai negara berdaulat dengan nama indah, Malaysia.

Ramli Othman, 68, berkata, pengalamannya selama 37 tahun dalam pasukan polis banyak memberinya peringatan mengenai ketulusan pengorbanan dalam memastikan tanah air benar-benar bebas daripada ancaman musuh.

"Ketika menjalankan tanggungjawab mempertahankan negara begitu banyak nyawa yang terkorban dan saya sangat berharap peristiwa itu tidak berulang lagi," katanya.