Sambutan Hari Kemerdekaan turut dirasai jemaah Malaysia di Makkah

 Pengurus Hotel Swissotel Al-Makam, Ahmad Maghrabi (empat, kanan) meraikan sambutan Hari Kemerdekaan bersama jemaah haji Malaysia di tanah suci, Makkah.
Pengurus Hotel Swissotel Al-Makam, Ahmad Maghrabi (empat, kanan) meraikan sambutan Hari Kemerdekaan bersama jemaah haji Malaysia di tanah suci, Makkah.
A
A
A

MAKKAH - Bahang sambutan Hari Kemerdekaan turut dirasai lebih 50 jemaah haji Malaysia yang kini masih berada di tanah suci Makkah.

Ia berikutan buat julung kalinya sambutan ditaja oleh pihak pengurusan hotel Swissotel Al-Makam yang sama-sama meraikan hari kesyukuran tersebut bersama para jemaah yang diketuai Pengurus hotel tersebut, Ahmad Maghrabi.

Salah seorang jemaah, Datuk Azmi Akop, 53 berkata, beliau sendiri tidak menyangka pihak hotel sanggup mengadakan persediaan bagi meraikannya dan ia suatu detik bersejarah buat jemaah apatah lagi di tanah suci.

"Kami bersyukur dapat juga meraikan hari Kemerdekaan di tanah suci Makkah dan tidak sangka pihak hotel sanggup membuat persediaan begitu rapi dengan kek, poster dan hiasan unik Jalur Gemilang. Ini satu kejutan buat kami.

"Ia kali pertama berlaku di tanah suci Makkah, sebelum ini tidak pernah berlaku dan kami sungguh gembira negara kita masih aman dan damai di samping masyarakat pelbagai kaum dapat mengecapi nikmat kemerdekaan bersama," katanya.

Bagi Jeffri Zainon, 49, detik sambutan Kemerdekaan di tanah suci pastinya akan menjadi sejarah buatnya yang akan pulang ke tanah air pada 7 September ini.

"Saya bersyukur biarpun berada di tanah suci semangat kemerdekaam tetap berkobar dengan sambutan yang ditaja oleh pihak hotel hari ini.

"Semua ini, akan menjadi kenangan terindah buat kami para jemaah Malaysia yang masih berada di tanah suci," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain upacara memotong kek, pihak hotel juga membina Jalur Gemilang yang diperbuat daripada susunan gelas air mengikut warna sekaligus menjadikan sambutan lebih unik.