Kes dera: JKM tunggu siasatan polis, hospital

Liow Cai Tung
Liow Cai Tung
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang menunggu siasatan polis dan hospital sebelum mendapatkan permohonan perintah mahkamah bagi menempatkan dua adik kepada kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang maut dipercayai akibat didera Rabu lepas, di rumah perlindungan kanak-kanak.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Pelancongan Wanita negeri Liow Cai Tung berkata, permohonan itu akan dibuat selepas proses siasatan oleh polis dan pihak hospital terhadap kedua-dua kanak-kanak itu selesai.

"Jika pihak hospital sudah siap dengan perkembangan siasatan, JKM bersedia ke mahkamah untuk mendapatkan perintah membawa kedua-dua kanak-kanak ini ke rumah kebajikan," katanya ketika ditemui pada program penyampaian sumbangan bantuan persekolahan oleh agensi kebajikan, Rainbow Of Life Forces (ROLF) di Rumah Kebajikan Shan De, di sini, hari ini.

Dua adik lelaki kepada kanak-kanak yang meninggal dunia itu masing-masing berusia empat tahun dan setahun yang turut disyaki didera, kini ditempatkan di wad khas kanak-kanak, Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk pemeriksaan lanjut, kerana dipercayai tubuh mereka juga terdapat kesan-kesan kecederaan.

Rabu lepas, media melaporkan kanak-kanak lima tahun itu meninggal dunia selepas disyaki didera oleh ibu tirinya di rumah mereka dekat Bandar Dato' Onn, di sini, dan polis kemudian mengesahkan punca kematian kanak-kanak itu adalah disebabkan hentakan benda tumpul pada abdomen.

Susulan itu, bapa kandung dan ibu tiri, masing-masing berumur 33 dan 23 tahun, direman sehingga 2 Januari ini untuk disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. - Bernama

Artikel Berkaitan: