Bakal tubuh badan pemantau TRM: Mohd Azmi

Mohd Azmi (duduk tengah) bergambar dengan ahli Teras dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) yang hadir di sini, hari ini.
Mohd Azmi (duduk tengah) bergambar dengan ahli Teras dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) yang hadir di sini, hari ini.
A
A
A

IPOH - Sebuah badan pemantau tanah rizab Melayu (TRM) serta milik persendirian masyarakat Melayu akan ditubuhkan selepas jumlah tanah dimiliki kaum tersebut dilaporkan hanya tinggal 12 peratus.

Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras) Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, penguncupan tanah milik Melayu sama ada status TRM, tanah wakaf mahupun tanah yang dimiliki agensi Melayu peringkat pusat atau negeri adalah merbahaya untuk masa depan kaum ini.

"Pada tahun lalu kenyataan Tan Sri Hanif Omar mengenai TRM kini tinggal 12 peratus sahaja daripada saiz asal dan ia jauh dari ketetapan Raja-Raja Melayu yang mahu 50 peratus tanah ini dipegang milik orang Melayu.

"Tanpa aset tanah yang menjadi asas membangun sosio ekonomi bangsa Melayu ia akan membawa risiko besar mengekalkan Melayu sebagai bangsa dominan di negara ini," katanya kepada pemberita pada sidang media Perhimpunan Penggerak Melayu Kebangsaan (PPMK) Ke-20 di Masjid Muhammad Al-Fateh di sini, hari ini.

Menurut Mohd Azmi, semua pihak baik dalam kalangan pemimpin atau masyarakat Melayu memandang isu pengurangan bilangan peratusan TRM di negara ini sebagai perkara yang serius ekoran jumlahnya berkurangan kepada 1.57 juta hektar daripada 3.1 juta hektar pada 1931.

"Jika semua pihak tidak memandang serius masalah ini besar kemungkinan ia akan meletakkan generasi Melayu dalam keadaan masa depan yang gelap memandangkan tanah merupakan aset terpenting tatkala generasi muda bergelut memiliki kediaman sendiri.

“Pengambilalihan TRM dan tanah milik orang Melayu mesti dilakukan dengan segera kerana kita lihat banyak tanah milik orang Melayu telah tergadai akibat hutang dan sebagainya.

“Ataupun terdapat satu keadaan di mana TRM ini jumlah peratusannya semakin menguncup kerana ia tidak diganti dengan tanah yang lain oleh kerajaan selepas menggunakannya untuk pembangunan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Azmi juga berkata, Teras akan melancarkan kempen dan siri penerangan kepada masyarakat Melayu supaya mereka tidak sewenang-wenangnya menjual tanah yang dimiliki mereka kepada pihak lain.