PSP latih murid tidak 'terlepas' sarapan pagi

Gambar hiasan
A
A

SEREMBAN - Program Sarapan Percuma (PSP), yang akan dilaksanakan pada sesi persekolahan tahun hadapan, bukan sahaja boleh menamatkan kisah murid yang terpaksa mengikat perut ekoran ketiadaan wang untuk membeli makanan di kantin.

Malah ia boleh dijadikan sebagai latihan kepada murid supaya lebih menitikberat soal pengambilan sarapan bagi memastikan mereka kekal sihat dan bertenaga sepanjang sesi persekolahan.

Bagi kebanyakan ibu bapa, pengumuman kerajaan mengenai PSP dianggap berita gembira dan langkah yang amat baik sekali gus dapat menjimatkan belanja kepada keluarga kurang berkemampuan.

Penjawat awam, Norzakiah Jamil, 44, yang memuji usaha itu berkata, program berkenaan mampu melatih murid pada awal usia supaya menitikberat soal pengambilan sarapan sebelum memulakan aktiviti atau sesi pembelajaran.

“Ia dapat melatih anak untuk mengutamakan sarapan pagi kerana pengambilan sarapan itu penting dan perlu diambil setiap hari bagi membekalkan tenaga dan memudahkan mereka belajar," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Suri rumah, Azlina Dahlan, 46, berpandangan bahawa PSP mampu menarik minat anaknya yang sebelum ini amat payah untuk bersarapan.

"Kalau kita sediakan sarapan di rumah, anak memang susah nak makan. Bagaimanapun, apabila wujudnya PSP di sekolah secara tidak langsung anak saya akan mula terikut untuk bersarapan disebabkan rakan lain pun sama bersarapan pagi.

"Jadi anak saya akan lebih seronok dan bersemangat untuk sarapan pagi bersama rakan-rakannya. Kita sebagai ibu bapa pula tidak perlu lagi risau soal anak sama ada mereka sudah makan atau tidak kerana sudah ada penyediaan sarapan pagi di sekolah," katanya.

Seorang lagi suri rumah, Nurul Aneesa Mohd Zainal, 29, berkata, PSP akan membantu golongan tidak berkemampuan dan berpendapatan rendah dalam penyediaan sarapan pagi manakala pekerja swasta, Mohd Fazil Hashim, 47, yang turut menyokong usaha kerajaan itu turut mencadangkan supaya sajian yang disediakan kelak mestilah seimbang dan berkhasiat.

Sementara itu, Presiden Kelab Doktor-Doktor Malaysia (MDC) Dr Muhammad Hakim Nordin berkata, pengambilan sarapan adalah amat penting untuk tubuh badan manusia dan menegaskan kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan seseorang itu mudah hilang fokus, penat selain berdepan dengan masalah kesihatan seperti gastrik, sakit kepala dan muntah.

“Sarapan adalah sumber tenaga utama untuk prestasi fizikal dan mental yang lebih aktif. Tanpa pengambilan sarapan pagi, badan akan mengalami kekurangan bekalan gula, mengakibatkan kehabisan tenaga, keletihan, tumpuan lemah, kemurungan dan tindakan balas yang perlahan.

“Sarapan pagi adalah pemakanan yang paling penting dalam kehidupan seharian. Setelah badan kita 'berpuasa' semalaman iaitu sewaktu kita tidur, pengambilan sarapan yang sihat dan seimbang penting untuk penjanaan tenaga untuk memulakan hari.

“Sarapan perlu bersifat ringan dan seimbang dengan komposisi seperti karbohidrat, protein dan sayuran atau buah-buahan yang mencukupi dan tidak berlebihan. Pengambilan pemakanan yang tidak bersifat seimbang pula akan membawa impak yang sama seperti tidak mengambil sarapan seperti mengantuk, lesu, keletihan dan lebih dikhuatiri kesan jangka masa panjang seperti obesiti,” katanya.

Pada 26 Ogos lepas, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengumumkan kira-kira 2.7 juta murid sekolah rendah kerajaan dan bantuan kerajaan akan mendapat sajian sarapan berkhasiat secara percuma bermula sesi persekolahan tahun 2020.

Menurut Maszlee, program berkenaan akan menggunakan kaedah pengurusan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) sedia ada dan sarapan itu akan disediakan oleh pengendali kantin di setiap sekolah terlibat.

PSP dicadang untuk dilaksanakan selama 30 minit, antara 7 hingga 8.30 pagi bagi sekolah sesi pagi dan antara 12 tengah hari hingga 4 petang bagi sekolah sesi petang. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Program sarapan percuma, langkah baik KPM

Spageti, sandwich boleh jadi menu PSP: Pakar


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia