Mangsa samun dibelasah dengan kayu dan diugut

Gambar keecil, Razmi.
Gambar keecil, Razmi.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki berdepan detik mencemaskan apabila ditumbuk dan dibelasah dengan kayu sebelum diugut menggunakan pisau serta gunting dalam kejadian samun di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 3.15 pagi itu berlaku semasa mangsa, 33, yang bekerja sebagai buruh ditarik secara tiba-tiba ke dalam sebuah kereta Perodua Myvi dinaiki enam lelaki, ketika berada di sebuah kedai makan di Gong Pauh di sini.

Menurut sumber, di dalam kereta itu mangsa dikatakan ditumbuk dan dipukul dengan kayu selain turut diugut menggunakan pisau dan gunting.

Katanya, suspek turut merampas kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) mangsa sebelum dibawa ke sebuah kedai serbaneka 24 jam di Jalan Pasir Panjang di sini.

"Sebaik mengeluarkan wang milik mangsa, suspek melarikan diri dan meninggalkan mangsa di hadapan kedai serbaneka 24 jam.

"Susulan laporan dibuat di Balai Polis Gong Badak, enam suspek berjaya ditahan di sekitar daerah ini untuk siasatan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan penahanan enam suspek.

Katanya, semua suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata.

Artikel Berkaitan:

"Mengenai dakwaan yang mengaitkan kejadian ini dengan kes culik, kes ini bukan kes culik sebaliknya kes samun kerana sebaik suspek menyamun wang mangsa, dia dilepaskan," katanya.