Abdul Hadi dipilih Tokoh Maal Hijrah Terengganu

Sultan Mizan berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu 1441H kepada Abdul Hadi sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah 1441H/2019M di Stadium Negeri hari ini. - Foto: URUSETIA PENERANGAN DARUL IMAN (UPDI)
Sultan Mizan berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu 1441H kepada Abdul Hadi sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah 1441H/2019M di Stadium Negeri hari ini. - Foto: URUSETIA PENERANGAN DARUL IMAN (UPDI)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu 1441H.

Anugerah kepada tokoh terbabit disampaikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah 1441H/2019M di Stadium Negeri, di sini hari ini.

Abdul Hadi yang ditemui selepas majlis menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana telah memberikan penghargaan yang tidak diduga itu.

“Terima kasih kepada Tuanku Sultan dan kepada kerajaan negeri kerana telah memberikan penghargaan kepada saya.

“Sebenarnya (anugerah) bukan kepada saya kerana saya berkhidmat untuk rakyat. Rakyat memberi sambutan dan mendukung (menyokong).

“Saya bersyukur pada ALLAH SWT dan berterima kasih kepada semua pihak kerana telah memberikan anugerah yang tidak dijangka ini,” katanya.

Menerusi penganugerahan itu, Abdul Hadi menerima wang tunai RM10,000 berserta tajaan umrah, set persalinan, piala dan sijil penghargaan.

Bekas Menteri Besar Terengganu yang dilahirkan di Kampung Rusila, Marang, Terengganu pada 20 Oktober 1947 itu merupakan tokoh ulama dan ahli politik gerakan Islam yang terkemuka di peringkat nasional dan antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Walaupun telah menginjak ke usia 72 tahun, Abdul Hadi tidak pernah jemu menggembleng tenaga dan fikiran demi menyebar dan memanfaatkan ilmu pengetahuan serta pengalaman kepada umat Islam di Terengganu dan Malaysia, amnya.

Tokoh ulama itu telah menghasilkan 108 buah karya antaranya Kuliah Tafsir al-Baqarah, Fiqh al-Haraki dari Sirah al-Nabawiyah, Ke Arah Pembentukan Harakah Islamiyyah: Individu dan Organisasi, Muqaddimah Aqidah Muslimin dan Islam Memimpin.

Selain Abdul Hadi, turut menerima anugerah pada majlis itu ialah Alisah Mohamad (Anugerah Keluarga Mithali), Zaimah Sulong (Anugerah Keluarga Tunggal Mithali) dan Nur Zalea Jasmin Abdullah (Anugerah Aktivis Saudara Kita).

Turut menerima anugerah, Ngah Yusof (Anugerah Imam Cemerlang), Mohamad Md Ali (Bilal Cemerlang), Radhiah Ab Rahman (Tokoh Hafizah), Dr Mohd Hamdan Muhamed (Tokoh Dakwah), Safuan Nizam Kamarudin (Tokoh Orang Kelainan Upaya) dan Muhammad Muda (Pemenang Kembara Warisan Kayuhan Hijrah 2019).

Sementara itu, bagi kategori Masjid Kerajaan Terbaik dimenangi Masjid Tengku Mizan Zainal Abidin, Kerteh, Kemaman manakala Masjid Kampung Batu 2 dinobat Masjid Mukim Terbaik.

Surau Terbaik pula dimenangi Surau Al-Hijrah, Hulu Takir dan kategori Premis Halal Terbaik dianugerahkan kepada MGV Industries Sdn Bhd.