'MBIP perlu jelaskan atau saya lancar mogok lapar'

Sebahagian ahli persatuan yang hadir.
Sebahagian ahli persatuan yang hadir.
A
A
A

SKUDAI - Persatuan Kepolisan Komuniti Taman Nesa menuntut Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) memberi penjelasan segera susulan penolakan permohonan tapak di taman tersebut yang telah dibuat sejak 2016.

Pengerusinya, S. Kogilavani berkata, beliau akan melancarkan mogok lapar pada Ahad depan sekiranya masih tidak menerima jawapan secara bertulis sehingga 7 September ini.

"Sebelum buat kenyataan media hari ini saya telah menghantar surat kepada MBIP dan pejabat tanah. Saya tuntut mereka beri jawapan bertulis dalam tempoh tujuh hari kenapa mereka tolak permohonan saya tapi sekarang sudah 10 hari mereka tak balas juga.

"Jadi, jika sehingga Sabtu depan masih tak ada maklum balas daripada MBIP atau pejabat tanah saya akan lancarkan mogok lapar tanpa makan minum bermula Ahad depan 9 pagi.

"Saya seorang akan buat. Saya tak nak ahli lain buat sebab ini tanggungjawab saya dan saya dah cuba segala cara selama tiga tahun ini tapi tak ada maklum balas," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Taman Nesa, hari ini.

Beliau mendakwa, permohonan tapak untuk dijadikan pangkalan pengoperasian persatuan telah ditolak beberapa kali dengan alasan terakhir berkait perkara teknikal.

Lokasi tapak yang didakwa dijadikan tapak parkir tahun 2017 selepas permohonan dibuatnya tahun 2016. (Gambar kecil: Kogilavani)
Lokasi tapak yang didakwa dijadikan tapak parkir tahun 2017 selepas permohonan dibuatnya tahun 2016. (Gambar kecil: Kogilavani)

"Daripada tahun 2016 kami mohon tapak untuk meletakkan kontena sebagai pangkalan pengoperasian tapi ditolak kerana katanya ini kawasan parkir. Pada pandangan anda adakah ini kawasan parkir?

Artikel Berkaitan:

"Selepas itu saya mohon beberapa kali lagi dalam tempoh tiga tahun dan akhirnya MBIP minta saya penuhi 12 syarat ditetapkan, tapi permohonan tetap ditolak Mac lalu dengan alasan penolakan dari bahagian teknikal.

"Saya tanya teknikal yang bagaimana tapi mereka kata maklumat itu sulit. Jadi bagaimana saya nak buat rayuan?," katanya.

Kogilavani juga mendakwa telah mendapatkan sokongan daripada ahli politik, ahli majlis, exco kerajaan negeri sebelumnya serta penduduk setempat.

Menurutnya, dalam pada itu usaha bertemu dengan Datuk Bandar MBIP (Datuk Adib Azhari Daud) juga masih gagal selepas membuat temu janji sejak lebih setahun lalu.

Difahamkan pangkalan itu akan diletakkan kontena sebagai ruangan untuk ahli persatuan meletakkan barang dan peralatan serta uniform selain penyediaan tandas.

Sementara itu pihak MBIP ketika dihubungi memberitahu akan mengeluarkan kenyataan esok bagi menjawab dakwaan tersebut.