Lapan perenang catat sejarah rentas Selat Dinding

Peserta program renang catat sejarah apabila berjaya berenang sejauh 10 kilometer merentasi Selat Dinding sempena program Renang Kemerdekaan Lumut hari ini.
Peserta program renang catat sejarah apabila berjaya berenang sejauh 10 kilometer merentasi Selat Dinding sempena program Renang Kemerdekaan Lumut hari ini.
A
A
A

IPOH - Seramai lapan perenang berusia 9 hingga 18 tahun mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya berenang sejauh 10 kilometer merentasi Selat Dinding sempena program Renang Kemerdekaan Lumut hari ini.

Naib Presiden dan Setiausaha Kehormat Pertubuhan Anak Perak, Rokiah Mat Nusi berkata, program berkenaan menyemarakkan lagi kemeriahan sambutan kemerdekaan kali ini apabila ia turut melibatkan penyertaan 45 pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengiringi kesemua perenang berkenaan.

Menurutnya, program berkenaan diinspirasikan daripada semangat perenang, Zara Musoumah berenang merentasi Selat Dinding pada 2005 lalu.

“Lokasi renang ini dipilih sebagai simbolik kembalinya Selat Dinding ke negeri Perak atas perjuangan Almarhum Sultan Iskandar Shah (Sultan Perak ke-30) pada 1935 setelah pentadbiran Selat Dinding bertukar tangan di antara penjajah selama 109 tahun penjajahan di Perak.

“Selain itu, program ini adalah salah satu cara untuk menzahirkan penghargaan dan kecintaan mendalam terhadap negara selain erti kemerdekaan termasuk membawa mesej ‘Sayangi Hidupan Marin sekali gus membawa maksud ‘kemerdekaan lautan’ daripada pencemaran sisa toksik, bahan terbuang daripada plastik demi kelangsungan hidup kehidupan marin dan ekosistemnya,” katanya hari ini.

Program renangan tersebut bermula dari Jeti Pulau Pangkor dan berakhir di Jeti Weldzone di Lumut.

Mengulas lanjut katanya, persiapan rapi program renangan merentasi Selat Dinding telah dilaksanakan sejak awal lagi bagi memastikan semua peserta bersedia dari segi mental dan fizikal.

Katanya, persiapan berkenaan penting kerana Selat Dinding diakui sebagai antara selat yang mencabar khususnya melibatkan alunan ombak dan angin yang sentiasa bertiup kencang.

Artikel Berkaitan:

Katanya, program berkenaan juga bertujuan mengumpul dana untuk pertandingan renang laut terbuka di Krabi, Thailand pada November nanti.