Sultan Terengganu bimbang cubaan gugat tulisan jawi

Sultan Mizan bertitah pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1441H/2019M Peringkat Negeri Terengganu di Stadium Negeri hari ini.
Sultan Mizan bertitah pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1441H/2019M Peringkat Negeri Terengganu di Stadium Negeri hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan rasa bimbang berikutan tindakan pihak tertentu yang cuba menggugat pelaksanaan tulisan jawi di negara ini.

Baginda bertitah, tindakan itu dilihat akan menghalang usaha ke arah memperkasakan tulisan jawi di negara ini.

“Sukacita beta nyatakan di sini, menjadi dasar kerajaan beta untuk melihat program-program memperkasakan tulisan jawi dan penghayatan tulisan khat dapat disemarakkan dan dipergiatkan di negeri ini.

“Beta merasa khuatir dengan tindakan golongan tertentu yang cuba menghalang dan mengganggu pelaksanaan tulisan jawi daripada diamalkan dalam kalangan masyarakat Islam,” titah baginda sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah 1441H/2019M Peringkat Negeri Terengganu di Stadium Negeri di sini hari ini.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah bersama Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail, Tengku Setia Mahkota Raja Tengku Muhammad Mua'az dan Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra’.

Mengiringi keluarga diraja itu ialah Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama isteri Datin Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman.

Sultan Mizan bersalaman dengan tetamu pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1441H/2019M Peringkat Negeri Terengganu di Stadium Negeri hari ini.
Sultan Mizan bersalaman dengan tetamu pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1441H/2019M Peringkat Negeri Terengganu di Stadium Negeri hari ini.

Pada majlis itu Sultan Mizan berkenan menyampaikan anugerah kepada penerima, termasuk Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1441H/2019M peringkat Terengganu kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dalam pada itu Sultan Mizan bertitah, tindakan pihak berkuasa negeri yang menetapkan peraturan tenaga pengajar agama Islam di negeri ini mestilah mempunyai tauliah dan kebenaran pihak berkuasa negeri merupakan satu tindakan untuk menjaga keharmonian serta kestabilan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

“Peristiwa hijrah mengajar umat Islam peri pentingnya keharmonian dan kestabilan dalam masyarakat. Justeru, apa jua sikap, polisi dan tindakan kita sebagai umat Islam mestilah berasaskan penjagaan kepada keharmonian dan kestabilan.

“Dalam hal ini, pihak berkuasa negeri telah membuat peraturan yang menjurus ke arah itu. Ini termasuklah dalam hal perjalanan dakwah Islamiah dengan menetapkan peraturan tenaga pengajar agama Islam di negeri ini mestilah mempunyai tauliah dan kebenaran daripada pihak berkuasa negeri,” titah baginda.

Sultan Mizan turut menyeru supaya seluruh rakyat tidak melepaskan peluang melakukan hijrah dengan menanam azam dan berusaha meninggalkan perbuatan ditegah.

“Beta menyeru seluruh rakyat jelata supaya tidak terlepas melakukan hijrah dengan menanam azam dan berusaha meninggalkan segala perbuatan yang dilarang ALLAH SWT serta mengamalkan perkara yang disuruh Islam di samping mengukuhkan perpaduan sesama kita,” titah baginda.