Siasatan inkues perlu disegerakan: Abdul Fattah

Abdul Fatah (empat, kanan) menunjukkan sijil koperasi milik Allahyarham Adib kepada Mohd Kassim.
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan dan pihak berkuasa digesa mempecepatkan proses siasatan inkues berhubung kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim bagi memberikan keadilan yang sewajarnya.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, tindakan lambat oleh pihak berwajib boleh menyebabkan semangat pekerja awam yang seangkatan Adib akan hilang.

Menurutnya, penjawat awam dan rakyat kini sudah tentu tertunggu-tunggu apa langkah susulan yang bakal dilakukan dan tindakan pantas mampu mengelakkan persepsi negatif timbul terhadap kerajaan.

"Allahyarham adalah salah seorang pencarum koperasi dari 6.5 juta ahli di negara ini. Saya percaya ahli lain juga mahu arwah Adib mendapat pembelaan yang seadilnya.

"Kehilangan arwah adalah kehilangan kepada keluarganya kerana arwah juga merupakan tempat bergantung kepada keluarga ini," katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan RM10,000 dari Angkasa kepada bapa Allahyarham Muhammad Adib, Mohd Kassim Abd Hamid di Kampung Tebengau, Kuala Kedah, semalam.

Abdul Fattah berkata, pihaknya juga berharap mereka yang melakukan kesalahan tersebut sehingga Allahyarham Muhammad Adib cedera parah sehingga meninggal dunia dapat ditangkap dan dihukum mengikut kesalahan yang dilakukan.

Katanya, Allahyarham Mohammad Adib merupakan anggota Koperasi Pekerja Bomba dan Penyelamat Malaysia dan ANGKASA prihatin terhadap anggota mana-mana koperasi yang ditimpa musibah.

Tambahnya, dalam konteks tersebut, siasatan inkues ini tidak boleh dilambat-lambatkan kerana keluarga dan rakan-rakan Allahyarham berharap perkara tersebut dapat diselesaikan secepat mungkin.

"Perkara ini rumit namun saya percaya dan yakin dengan kemampuan pihak berwajib dan kerajaan untuk menyelesaikannya," katanya lagi.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia