Tiada limpahan air di pesisir pantai akibat air pasang besar

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Keadaan pantai di Selangor dilaporkan terkawal dan tiada sebarang limpahan air berlaku di pesisir pantai berikutan fenomena air pasang besar yang berlaku awal pagi ini.

Unit Pengurusan Bencana Selangor berkata, keadaan ban ataupun benteng di kawasan pesisir pantai juga kukuh dan berada dalam keadaan baik.

"Keadaan dilaporkan baik dan selamat serta cuaca juga cerah dan baik. Tiada sebarang pusat pemindahan yang dibuka setakat pukul 9. 30 pagi ini," katanya.

Daerah Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam kini diletakkan dalam persediaan peringkat tinggi bagi menghadapi fenomena air pasang besar kerana berisiko tinggi mengalami banjir sekiranya berlaku angin kencang dan hujan lebat.

Unit Pengurusan Bencana Selangor dalam satu kenyataan sebelum ini berkata, fenomena air laut pasang besar diramal berlaku pada hari ini dan esok (1 hingga 2 Sept), 29 Sept sehingga 2 Okt, dan 27 sehingga 30 Okt di pesisiran pantai Selangor, dengan ketinggian paras air laut dijangka mencecah 5.7 meter.

Sehubungan itu, pelbagai agensi berkaitan termasuk Pihak berkuasa Tempatan di negeri ini turut diarah berjaga-jaga bagi menghadapi fenomena air pasang besar berkenaan.- Bernama

Artikel Berkaitan: