X

Kindly register in order to view this article
!

Henti nyala api perkauman, permusuhan agama: Sultan Nazrin

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan agar semua pihak menghentikan perbuatan menyemarak isu perkauman dan agama di negara ini.

Baginda bertitah, setiap insiden yang ditafsirkan secara negatif menurut dimensi kaum dan agama meletakkan negara berada dalam zon bahaya yang mencemaskan.

Menurut baginda, pelbagai provokasi keterlaluan membabitkan isu perkauman dan agama ibarat satu bom jangka yang menunggu masa untuk meletup.

"Pelbagai provokasi secara keterlaluan dilaporkan, antaranya meletak patung dan melemparkan daging khinzir di dalam masjid, meletak kepala lembu di kuil Hindu, menyebarkan pelbagai bahan diayah, fitnah dan penghinaan melalui media sosial, termasuk penghinaan terhadap agama Islam dan Rasulullah SAW. Sebahagian besar daripada perbuatan-perbuatan tersebut dilaporkan dilakukan kerana upahan.

"Bara perkauman semakin disemarakkan, api permusuhan antara agama semakin dinyalakan. Setiap ungkapan dan setiap perbuatan sedemikian, sebenarnya merupakan pemasangan satu bom jangka, yang menantikan masa untuk meletup," titah baginda sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah 1441 Peringkat Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina @ Meru, Bandar Meru Raya di sini hari ini.

Turut berangkat pada majlis itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah; Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Shah.

Mengiringi baginda, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Exco kerajaan Perak.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin turut menegur tindakan segelintir pemimpin politik yang mengambil kesempatan meningkatkan lagi suhu permusuhan dalam kalangan rakyat.

"Apakah kemenangan yang mahu diperoleh sebahagian mereka yang bergelar pemimpin, bersaing mempamerkan ego masing-masing, sehingga sanggup meletakkan nilai diri sebegini rendah, dalam hasrat mencari pengaruh dan mendapatkan sokongan politik?

"Apakah kepuasan yang bakal dihirup sekiranya darah warga membasahi bumi, mayat bergelimpangan, bangunan terbakar dan kenderaan hangus dijilat api? Suhu panas ini wajib segera diturunkan. Perbuatan menyalakan api perkauman, perbuatan meniupkan bara permusuhan antara agama wajib dihentikan tanpa berlengah," tegas Sultan Nazrin.

Menurut baginda, suhu politik di dalam negara pasca Pilihan Raya Umum ke-14 semakin hari semakin dipanaskan dan dilakukan oleh pemimpin politik daripada kedua-dua pihak sama ada kerajaan mahupun pembangkang.

"Sifat-sifat kaduk menaiki junjung dan sifat-sifat memilih lebih mahu berputih tulang setelah berputih mata oleh sebahagian pemimpin politik telah meningkatkan suhu permusuhan dalam kalangan warga.

"Perbuatan ‘mengata dulang paku serpih’ melalui persaingan melukis wajah lebih hodoh lawan politik, semakin menambahkan mendung di langit negara," titah baginda.

Menurut baginda, kebenaran fakta dan kesahihan sesuatu berita tidak lagi menjadi keutamaan sebaliknya rakyat di negara ini termasuk golongan terpelajar membiarkan emosi mempengaruhi diri.

Baginda bertitah, pemikiran rakyat semakin diracuni sehingga mereka menjadi terlalu taksub dan semakin berminda tertutup.

"Setiap insiden daripada kejadian jenayah di jalan raya kepada tindakan disiplin seorang guru di sekolah, atau seorang majikan di pejabat, warna baju yang dipakai oleh pemimpin, kesilapan mengibarkan bendera, perubahan kurikulum pengajian, dilihat dan ditafsirkan secara negatif menurut dimensi kaum dan agama. Keadaan ini amat tidak sihat, meletakkan negara berada dalam zon bahaya yang mencemaskan.

"Majoriti warga di negara ini cintakan keamanan. Mereka semakin resah, semakin gelisah, berasa bimbang, berasa takut. Sedarilah! serpihan daripada letupan bom jangka ini tidak mengenal mangsa, malah anak cucu serta kaum kerabat pemasang bom jangka turut terdedah kepada akibat daripada perbuatan-perbuatan berfikiran singkat," titah baginda.

Sementara itu, Sultan Nazrin menitahkan supaya undang-undang didaulatkan dalam menangani isu perkauman dan agama supaya keselamatan nyawa, keselamatan harta benda rakyat yang tidak berdosa terjamin dilindungi.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!