Erti merdeka seorang mualaf

A
A

MUALAF, daripada segi bahasa, bermaksud orang yang ditambat hatinya dengan perbuatan yang baik dan kasih sayang.

Dari segi pengertian istilah (syarak), mualaf ialah orang yang ditambat hatinya untuk dijinakkan kepada Islam atau untuk menguatkan mereka terhadap Islam.

Seseorang yang baru memeluk agama Islam biasanya dikenali sebagai mualaf atau saudara baharu atau saudara kita. Terbaharu, istilah saudara Muslim digunakan untuk merujuk kepada kumpulan ini.

Perkataan mualaf berasal daripada muallafat qulubuhum, kategori keempat daripada lapan kategori yang layak menerima zakat, seperti yang dinyatakan melalui ayat 60 surah At-Tawbah. Apakah tafsiran atau maksud sebenar muallafat qulubuhum?

Menurut ilmuwan tafsir, qulub merupakan kata majmuk bagi qalb yang bermaksud hati. Muallafat qulubuhum boleh diterjemahkan sebagai ‘ambil hati’, yang bermaksud untuk mengambil hati mereka yang berjinak-jinak dengan Islam.

Negara kita baru sahaja menyambut Hari Kebangsaan ke-62. Malaysia telah menjadi sebuah negara yang berdaulat apabila secara rasminya merdeka daripada penjajahan British pada 31 Ogos 1957. Dengan kemerdekaan itu, Malaysia tidak lagi perlu mengikut arahan atau ditadbir secara langsung oleh pihak British.

Bagaimana pula untuk seseorang manusia itu merdeka? Mungkin ada yang merasakan bahawa mereka sudah merdeka apabila berjaya memperoleh kebebasan kewangan (financial freedom).

Ini kerana mereka tidak lagi perlu pergi kerja setiap hari, dari pagi hingga lewat petang mahupun malam, demi mendapatkan gaji atau sumber kewangan untuk membayar hutang rumah, hutang kereta dan perbelanjaan harian. Dalam erti kata lain, demi kelangsungan hidup.

Islam yang merupakan fitrah untuk semua manusia tidak kira status, umur, latar belakang serta kaum, mempunyai sudut pandang yang berbeza dalam hal ini.

Dalam Islam, bagi seseorang yang kembali kepada fitrahnya, yakni Islam, ALLAH mengampunkan segala dosanya pada masa sebelum dia memeluk Islam.

Mereka yang baru kembali kepada fitrah menjadi manusia yang suci daripada segala dosa sebagaimana firman ALLAH dalam surah Al-Anfaal ayat 38 yang bermaksud, “Katakanlah kepada orang-orang kafir itu, (Abu Sufyan dan kawan-kawannya), ‘Jika mereka berhenti (daripada kekafirannya), nescaya ALLAH akan mengampuni dosa-dosa mereka yang telah lalu; dan jika mereka kembali lagi (memerangi Nabi), sungguh akan berlaku (kepada mereka) sunnah (ALLAH terhadap) orang-orang terdahulu (dibinasakan).”

Selain daripada kesalahan dan dosa yang diampuni, bagi seorang mualaf (seseorang yang baru memeluk Islam), segala amal dan kebaikan yang pernah dikerjakannya ketika belum Islam turut akan dilipatgandakan lagi pahalanya. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, “Engkau telah masuk Islam berserta semua kebaikanmu yang dahulu.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Walaupun mereka yang baru memeluk Islam biasanya berhadapan dengan beberapa masalah seperti risiko terdedah kepada krisis kehidupan dan masalah kewangan apabila dihalau keluarga, dibuang kerja, dipulau oleh rakan sekerja dan sebagainya; semuanya tidak mampu melawan kekuatan cahaya iman yang dikurniakan oleh ALLAH SWT.

Jika ditanya kepada mereka yang baru memeluk Islam, hampir kesemuanya akan mengatakan bahawa mereka merasakan ketenangan jiwa ataupun kesejahteraan sebenar selepas mengucap dua kalimah syahadah. Tiada wang ringgit yang mampu memberikan kebahagiaan abadi seperti itu.

Jika kekayaan dapat memberikan kebahagiaan hakiki, mengapa ramai selebriti Hollywood dan Korea membunuh diri walaupun mereka kaya-raya, sangat terkenal malah menjadi pujaan ramai di seluruh dunia?

Wang ringgit, harta benda dan pangkat merupakan kebahagiaan sementara. Sekiranya semua itu dijadikan sandaran kebahagiaan, apabila wang ringgit sudah habis, harta benda hilang, pangkat sudah tiada, manusia tersebut akan hilang kebahagiaan.

Maka, berbahagialah bagi mereka yang ALLAH telah menunjukkan hidayah untuk menerima Islam. ALLAH ampuni dosa-dosa yang telah dilakukannya ketika belum Islam serta memberi pula pahala yang banyak atas kebaikan yang dilakukannya ketika itu.

Semoga semuanya istiqamah dalam melakukan segala bentuk kebaikan dan kebajikan serta berusaha kuat untuk mengelak daripada segala yang ditegah.

* Johari Yap ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.