Projek FR5: Petisyen bertulis di empat kawasan terjejas

Ahmad Zhafri (dua kiri) bersama JKBFR5 bersedia melancarkan petisyen bertulis di empat kawasan terjejas berikutan kerja naik taraf projek FR5.
Ahmad Zhafri (dua kiri) bersama JKBFR5 bersedia melancarkan petisyen bertulis di empat kawasan terjejas berikutan kerja naik taraf projek FR5.
A
A
A

SABAK BERNAM - Jawatankuasa Bertindak Jalan Persekutuan 5 (JKBFR5) merancang melancarkan petisyen bertulis di empat kawasan terjejas berikutan kerosakan jalan bagi perlaksanaan projek naik taraf jalan FR5.

Pengerusinya, Ahmad Zhafri Md Noor berkata, petisyen bertulis itu diedarkan di Sabak Bernam, Sungai Besar, Sekinchan dan Tanjong Karang.

"Melalui wakil-wakil yang telah dilantik, JKBFR5 akan bergerak melalui medium penerangan dari kampung ke kampung, program kemasyarakatan dan juga pasar-pasar awam.

"Petisyen luar talian ini kami lancarkan bagi menambah jumlah responden bagi mendapatkan maklum balas yang lebih meluas daripada penduduk setempat di samping petisyen dalam talian yang akan terus disebarkan," katanya menerusi kenyataan media.

Ahmad Zhafri berkata, semua petisyen yang diperoleh itu akan diserahkan kepada Kementerian Kerja Raya untuk tindakan lanjut.

"Kita berharap kerajaan dapat campur tangan dalam isu ini yang ternyata memberi masalah dan musibah kepada pengguna FR5 sehingga mengorbankan banyak nyawa," katanya.

Menurut beliau, pihaknya bercadang menubuhkan pasukan peguam mewakili penduduk setempat sekiranya tujuh tuntutan dikemukakan sebelum ini gagal dilaksanakan dengan baik pihak kontraktor terlibat.

Katanya, hasil kaji selidik secara dalam talian sehingga 25 Disember lalu, mendapati 97 peratus pengguna tidak berpuas hati dengan perlaksanaan projek FR5.

Artikel Berkaitan:

"Kaji selidik yang membabitkan 1, 071 responden itu jelas tidak selari dengan kenyataan pihak kontraktor yang menyatakan 80 peratus isu-isu mengenai keselamatan jalan sepanjang projek FR5 diselasaikan," katanya.

Selain itu, katanya, pihaknya turut melancarkan 'Talian Hotline' melalui talian 019-7274796 khusus untuk pengguna bagi menyalurkan maklumat kemalangan jalan raya di sepanjang projek FR5 bermula dari Tanjong Karang hingga ke Hutan Melintang.

"Setakat ini, kami telah menerima laporan kemalangan pada setiap hari sama ada berbentuk gambar atau pun bertulis," katanya.