Konsep penyatuan ummah semakin diterima akar umbi

Abdul Rahman Bakri
Abdul Rahman Bakri
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO Selangor menyifatkan konsep penyatuan ummah yang dibawa bersama Pas semakin dapat diterima dengan baik oleh ahli kedua-dua parti di peringkat akar umbi.

Ketua Penerangannya, Datuk Abdul Rahman Bakri berkata, perkembangan itu dapat dilihat menerusi Himpunan Perpaduan Ummah 2.0 yang berlangsung di Pasir Salak di mana ahli di peringkat akar umbi menunjukkan sokongan padu terhadap kerjasama antara dua parti tersebut.

Menurutnya, kaum Melayu juga semakin sedar dan menginginkan kerjasama ini bagi menunjukkan penyatuan Islam dalam membina sebuah negara yang lebih baik untuk membela nasib semua kaum di negara ini.

"Sambutan yang memberangsangkan semalam menandakan bahawa konsep penyatuan ummah antara UMNO dan Pas telah dapat diresapi oleh akar umbi dan nampaknya mereka telah mula menerima bahawa perlunya kerjasama antara orang Melayu dan Islam melalui dua parti terbesar ini," katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan himpunan tersebut yang berlangsung di Dataran Dewan Besar, Pekan Rabu, Sungai Manik menjadi tumpuan puluhan ribu penyokong kedua-dua parti berkenaan.

Hadir sama pada himpunan kali kedua ini ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Ketua UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung Pas Pusat, Datuk Takiyuddin Hassan serta pimpinan pusat dan negeri kedua-dua parti itu.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam memaklumkan bahawa UMNO dan Pas Selangor juga kini dalam perancangan untuk menganjurkan ceramah di peringkat negeri pada 8 September depan bertempat di kawasan Selayang.

"Bagaimanapun, perkara itu masih di peringkat cadangan dan ia tertakluk kepada mesyuarat yang akan berlangsung pada 3 September ini," katanya.

Artikel Berkaitan: