15 negara meriahkan Pesta Wau Antarabangsa di Pantai Geting

Hassan (kanan) melakukan gimik perasmian dengan menaikkan wau sempena Pesta Wau Antarabangsa kali ke 37 di Pantai Geting.
Hassan (kanan) melakukan gimik perasmian dengan menaikkan wau sempena Pesta Wau Antarabangsa kali ke 37 di Pantai Geting.
A
A
A

TUMPAT - Sebanyak 15 negara menyertai Pesta Wau Antarabangsa di Pantai Geting yang bermula sejak Khamis lalu.

Ketua Penolong Setiausaha (Pelancongan dan Kebudayaan), Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC), Nik Mahmud Nik Jaaffar berkata, ada peningkatan penyertaan peserta dari negara luar yang disertai negara Kemboja, New Zealand, Sweden, Korea Selatan, Indonesia, Thailand, Brunei, Jerman, China, Jepun dan Norway.

Menurutnya, penyertaan dari Malaysia pula membabitkan lapan negeri antaranya Kedah, Johor, Terengganu, Selangor, Perlis, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan negeri Kelantan sendiri.

"Kita jangkakan tahun depan penyertaan peserta luar negara juga akan meningkat kepada 20 negara.

"Ini kerana tahun depan adalah Tahun Melawat Kelantan (TMK) dan ia akan menarik lebih ramai pelancong melawat Kelantan nanti," katanya selepas majlis perasmian penutup di Pantai Geting di sini hari ini.

Sebelum itu, perasmian penutup disempurnakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan Negeri Kelantan, Datuk Hassan Mohamood.

Nik Mahmud berkata, tahun ini pesta berkenaan diadakan lewat tetapi ia tetap menarik 30,000 pengunjung selama tiga hari ia berlangsung.

"Malah lebih meriah tahun ini kerana ada penambahan gerai yang berkonsepkan karnival jualan berlangsung sepanjang pesta ini diadakan.

Artikel Berkaitan:

"Biasanya setiap tahun diadakan pada bulan Mei tetapi disebabkan jatuh pada bulan Ramadan, ia ditunda pada Ogos. Tetapi ia tetap dapat sambutan kerana tiga hari ini adalah cuti panjang sempena 31 Ogos," katanya.