FAM, MFL bayar lebih RM2 juta selesaikan tunggakan gaji 6 pasukan

FAM
FAM
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan pegawai bagi enam pasukan Liga Malaysia berjumlah RM2,458,970.20 melalui pembayaran pada Khamis dan Jumaat lalu.

Enam pasukan berkenaan terdiri daripada tiga pasukan Liga Super iaitu Melaka, Felda United dan Kuala Lumpur, serta tiga pasukan Liga Premier iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pulau Pinang dan Sarawak.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, berkata, sumber kewangan untuk menjelaskan tunggakan berkenaan adalah daripada wang hak penyiaran MFL dan baki deposit dalam simpanan FAM daripada enam pasukan berkenaan.

"Bagaimanapun, pembayaran hanya dibuat kepada pemain dan pegawai yang kes tunggakan gaji atau tuntutan lain itu sudah diputuskan oleh Jawatankuasa Status FAM dan juga Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi kes melibatkan pemain import," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramalingam menjelaskan, inisiatif untuk memotong wang hak penyiaran dan mengunakan wang deposit daripada pasukan terlibat bagi menjelaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai ini adalah kali kedua.

Pada Mac lepas, FAM telah menggunakan wang deposit dan lain-lain wang milik pasukan terlibat berjumlah RM2,517,959.40 yang dipegang oleh FAM bagi menyelesaikan isu yang sama. - Bernama

Artikel Berkaitan: