Alasan klise malam merdeka

Anggota penguatkuasa Jheains memberi nasihat kepada psgn remaja ketika prog street dakwah diadakan
Anggota penguatkuasa Jheains memberi nasihat kepada psgn remaja ketika prog street dakwah diadakan
A
A
A

SEREMBAN - Kononnya ke Kuala Lumpur menyambut ambang merdeka bersama rakan-rakan, tapi rupa-rupanya 'menyambutnya' di hotel bajet dengan pasangan.

Bagaimanapun alasan tipu diberi pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) kepada ibu bapanya untuk keluar melepas rindu dengan pasangan kekasihnya terbongkar apabila hotel tempatnya menginap di daerah ini diserbu Penguatkuasa Jabatan Agama Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (Jheains) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan, yang diketuai Ketua Pegawai AADK Seremban Haspalila Husain pada Ops Ambang Merdeka malam tadi.

Dalam operasi bermula jam 1 pagi sehingga jam 5 pagi itu, mereka antara 52 pasangan bukan muhrim yang ditahan mengikut Seksyen 61(1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 kerana cuba melakukan persetubuhan haram.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS Ahmad Zaki Hamzah berkata, kesemua mereka yang kebanyakan pasangan muda berusia antara 19 hingga 25 tahun ditahan di beberapa hotel di Seremban, Nilai dan Port Dickson.

"Bila kita soal siasat kebanyakan pasangan beri alasan klise kononnya hanya singgah sebentar untuk bertemu dan tidak sempat pulang ke rumah, yang sudah biasa kita dengar.

"Saya harap ibu bapa pantau dan awasi pergerakan anak-anak. Jangan terlalu beri kepercayaan yang akhirnya akan memudaratkan mereka," katanya.

Selain itu katanya, seramai enam ditahan termasuk penjawat awam mengikut Seksyen 78 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 kerana minum minuman memabukkan.

Beliau berkata, kesemua mereka dibawa ke pejabat penguatkuasa Jheains untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Jheains dan enam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut mengadakan program Street Dakwah di beberapa lokasi sambutan ambang merdeka di Seremban, Nilai dan Port Dickson.

Sementara itu, Pengarah Jheains, Mohd Zaidi Ramli berkata, program berkenaan diadakan bertujuan menasihati masyarakat Islam khususnya golongan muda supaya menyambut ambang kemerdekaan dengan tertib.

"Kita tiada masalah untuk masyarakat Islam sambut malam merdeka, tapi mengharapkan ia disambut dalam suasana yang tidak disulami perbuatan yang melanggar budaya kita dan batas yang ditetapkan syarak.

"Kita faham masalah moral yang berlaku pada malam merdeka banyak melibatkan orang Islam dan sebab itu kita mulakan dengan dakwah dalam bentuk nasihat. Kita nak cegah mana yang patut," katanya.