Bom perang dunia disangka besi buruk

Bom lama dipercayai dari zaman perang dunia ditemui di ladang Blok 11 Felda Semenchu.
Bom lama dipercayai dari zaman perang dunia ditemui di ladang Blok 11 Felda Semenchu.
A
A
A

KOTA TINGGI - Sebutir bom lama dipercayai dari zaman perang dunia ditemukan di ladang Blok 11 Felda Semenchu pagi semalam.

Pengerusi Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Zon A Semenchu, Yusmiza Said berkata, bom berkenaan dijumpai pekerja warga Indonesia yang menyangka ia besi buruk ketika sedang memotong buah sawit di kawasan tersebut.

"Pekerja berkenaan kemudian memaklumkan penemuan tersebut kepada anggota Rela dan ketua Blok 11.

"Susulan itu satu laporan dibuat di Balai Polis Telok Sengat sebelum pihak polis menghubungi Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Kontinjen Johor (IPK) untuk tindakan lanjut," katanya kepada Sinar Harian.

Yusmiza berkata, bom berkenaan selamat dimusnahkan kira-kira jam 4 petang hari yang sama di ladang berkenaan.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan kepada orang ramai yang menjumpai benda mencurigakan supaya memaklumkan terus kepada pihak berkuasa atau pemimpin yang paling hampir.

"Bom lama ni memang nampak macam tunggul kayu tetapi ia sebenarnya bom. Tambahan pula kawasan di Kota Tinggi adalah kawasan kubu terakhir British di semenanjung sebelum berundur ke Singapura.

"Jadi memang banyak bom yang dijatuhkan di sini. Kita juga dimaklumkan pihak polis bom yang ditemui ini adalah bom yang dijatuhkan dari kapal terbang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah ketika dihubungi mengesahkan penemuan bom tersebut.