Hanafiah semakin sihat, kembali bertugas 1 November depan

Meskipun diberikan cuti sehingga 30 Oktober depan, Hanafiah (kiri) memantau perkembangan tugas portfolio beliau dan aktiviti di peringkat DUN menerusi WhatsApp.
Meskipun diberikan cuti sehingga 30 Oktober depan, Hanafiah (kiri) memantau perkembangan tugas portfolio beliau dan aktiviti di peringkat DUN menerusi WhatsApp.
A
A
A

KEMAMAN - Selepas genap sebulan menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga & Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat kini semakin sihat dan akan kembali bertugas pada 1 November depan.

Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang kanan di China pada 31 Julai lalu dan doktor memberikan cuti sakit kepada beliau sehingga 30 Oktober ini.

Hanafiah berkata, khabar angin kononnya beliau sedang nazak yang tular di media sosial adalah tidak benar kerana keadaan kesihatannya bertambah baik dan beliau dalam proses untuk pulih sepenuhnya.

Katanya, hasil ujian darah yang dilakukannya tiga hari lalu mendapati bacaan darahnya sudah kembali normal seperti sediakala.

"Saya pulang dari China 21 Ogos lalu dan terkejut bila dapat tahu ada yang tularkan dalam WhatsApp kononnya saya sedang nazak lepas jalani pembedahan.

"Apa yang disebarkan itu tak betul. Alhamdulillah, keadaan saya semakin pulih," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Gong Pauh, Chukai di sini hari ini.

Hanafiah, 59, juga bersyukur kerana bukan sahaja tempoh pembedahan beliau singkat, malah proses pemulihan juga agak cepat berbanding pesakit buah pinggang yang lain.

Menurutnya, pembedahan pemindahan buah pinggang kanannya hanya mengambil masa selama dua jam berbanding kelazimannya selama empat jam.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, beliau juga ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) tidak sampai sehari dan kemudian dipindahkan ke wad biasa selama 14 hari sebelum dibenarkan keluar hospital.

"Saya yakin urusan pembedahan dan rawatan saya dipermudahkan sepanjang berada di China berkat doa rakyat kerana seluruh surau, masjid dan sekolah pondok di Kemaman buat solat hajat sebelum saya jalani pembedahan. Terima kasih kepada semua yang mendoakan saya," katanya.

Tambah Hanafiah, selepas genap sebulan menjalani pembedahan, beliau juga berasakan tubuhnya semakin sihat dan segar.

"Individu yang mendermakan buah pinggang kepada saya adalah remaja lelaki berusia 21 tahun.

"Sebelum pembedahan dibuat, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan mendapati DNA penderma 85 peratus sepadan dengan saya, sebab itu tubuh saya boleh menerima buah pinggang baharu ini," katanya.

Bagaimanapun katanya, bahagian pinggang kanannya yang dibedah dijangka mengambil masa sebulan lagi untuk pulih dan doktor menasihatkan beliau supaya tidak berada di khalayak ramai kerana khuatir berlaku jangkitan kuman.

Hanafiah memberitahu, beliau juga terpaksa berpantang kerana doktor tidak membenarkannya mengambil makanan yang tidak dimasak seperti sushi dan sayur-sayuran bagi mempercepatkan proses pemulihan.

Menurutnya, tugas beliau sebagai Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga & Perpaduan Nasional sekarang dipangku Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

"Ketika datang menziarahi saya minggu lalu, Menteri Besar maklumkan kepada saya bahawa beliau sendiri pangku portfolio saya sekarang.

"Sebahagian kerja saya turut dilaksanakan oleh timbalan saya, Alias Harun yang hadir ke majlis atau program-program bagi mewakili saya," katanya.

Selain itu katanya, aktiviti di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) juga berjalan seperti biasa kerana beliau telah mengarahkan Pemuda Pas DUN Chukai dan Pejabat DUN untuk melaksanakannya.

Ia melibatkan pemberian sumbangan kepada fakir miskin, ziarah orang sakit, ziarah kematian serta pelaksanaan program belia seperti pertandingan futsal, bola sepak dan permainan dalam talian PlayerUnknown's Battleground (PUBG).