Empangan kritikal, bekalan air berjadual mulai 2 September ini

Wee Tse ketika melawat Empangan Machap Mac lalu.
Wee Tse ketika melawat Empangan Machap Mac lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pelaksanaan bekalan air berjadual (BAB) yang melibatkan 25,894 akaun pengguna sekitar Pekan Simpang Renggam, Layang-Layang dan Utara Pontian bermula 2 September ini akan diteruskan.

Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, perkara itu berikutan paras air Empangan Machap yang membekalkan air kepada Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Rengam kini masih berada di tahap kritikal.

“LRA Simpang Rengam kini berada di tahap 14.45 meter berbanding 14.63 meter yang diambil pada 24 Ogos lalu. Tahap kritikal adalah pada 14.84 meter.

“Memandangkan paras air masih di bawah tahap kritikal maka BAB yang dijadualkan bermula pada 2 September ini terpaksa diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jimmy Puah berkata, kadar frekuensi BAB yang akan dijalankan adalah membabitkan 36 jam ada air dan 36 jam tiada air.

Menurutnya, pelaksanaan BAB itu adalah termasuk seluruh Jalan Benut-Pontian, Jalan Parit Betak, Benut, Jalan Parit Ismail, Jalan Madirono-Makasar, Jalan Parit Panjang, Sanglang, Ayer Baloi, Pulai Sebatang dan sebahagian Api-Api.

Selain itu, kawasan lain yang terlibat adalah Mukim Renggam, Mukim Ulu Benut, Mukim Machap (tidak termasuk kawasan pentadbiran daerah Batu Pahat) dan sepanjang Jalan Johor-Simpang Renggam.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerajaan dan SAJ Ranhill telah mengambil keputusan untuk menangguhkan perlaksanaan BAB di kawasan yang bergantung kepada LRA Sungai Gembut.

Artikel Berkaitan:

“Paras air di Sungai Gembut kini berada pada 0.82 meter berikutan taburan hujan awal minggu ini yang menggalakkan di kawasan tersebut,” katanya.

Ketika ini, LRA Sungai Gembut membekalkan air kepada 5,246 akaun pengguna SAJ di sekitar Kota Tinggi.