Guru sambilan dicekup edar dadah

Dadah yang dirampas susulan tertangkapnya suspek di sebuah hotel di Taman Melawati, Ampang kelmarin.
Dadah yang dirampas susulan tertangkapnya suspek di sebuah hotel di Taman Melawati, Ampang kelmarin.
A
A
A

AMPANG - Seorang guru sambilan dicekup di sebuah hotel di Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.

Tangkapan dibuat sepasukan anggota dari Balai Polis Taman Melawati menerusi Ops Cegah Jenayah Khas kira-kira jam 7 petang kelmarin, hasil maklumat dan risikan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner R Sundralingam berkata, lelaki berusia 41 tahun itu ditahan dalam sebuah bilik hotel.

"Pemeriksaan menjumpai serbuk disyaki heroin seberat kira-kira 0.64 kilogram, eramin 5 (8 biji) serta 18.8 gram yang kesemua dianggarkan bernilai RM6,000.

"Ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah methamphetamine," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Sundralingam berkata, pemeriksaan juga mendapati suspek memiliki satu rekod lampau bersabit kes dadah.

Katanya, siasatan awal suspek mengaku dadah yang diperoleh daripada seorang lelaki di sekitar Lembah Klang itu adalah miliknya.

"Suspek mendapatkan bekalan dengan harga RM1,400 untuk 12.5 gram heroin dan syabu. Dadah itu dijual semula suspek dengan harga RM30 bagi sepeket heroin (1.7 gram) manakala RM50 untuk syabu (0.6 gram)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan dan suspek kini direman tujuh hari sehingga Khamis depan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, 39A(1), 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.