Kegembiraan berganda sambut bayi merdeka

Dr Zanariah (tengah) bersama tiga bayi merdeka di Hospital KPJ Pakar Perdana, Kota Bharu hari ini.
Dr Zanariah (tengah) bersama tiga bayi merdeka di Hospital KPJ Pakar Perdana, Kota Bharu hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Kegembiraan berganda! Itulah perasaan Nor Nabilah Maisarah Mohd Rasidi, 26, yang melahirkan bayi sulungnya pada Hari Kebangsaan di sini hari ini.

Kakitangan Hospital Pakar Perdana Cawangan Klang yang berasal dari Jelawat, Bachok itu berkata, dia tidak sangka akan melahirkan bayinya pada 31 Ogos kerana jangkaan bersalin pada 30 Ogos.

"Saya jangka mungkin bersalin awal seminggu atau sebagainya, tak sangka pula bayi lahir hari ini.

"Saya sangat gembira kerana bukan hanya sambut bayi baru, malah kita turut sambut merdeka. Alhamdulillah semua urusan dipermudahkan," katanya kepada pemberita di Hospital KPJ Pakar Perdana di sini hari ini.

Nabilah melahirkan bayi sulungnya itu pada 4.43 pagi setelah dimasukkan ke hospital pada Khamis lalu dan selamat melahirkan bayi perempuan seberat 3.11 kilogram secara pembedahan yang dilakukan Dr Roslan Ridzuan.

Bagi pasangan Nik Nurfaizah Hanim Nik Abdul Hamid, 34, dan Mohd Fadli Deraman, 36, mereka turut tidak menyangka akan menimang cahaya mata keempat pada hari kemerdekaan negara kerana tarikh asal jangkaan bersalin adalah pada 2 September.

Menurut Nik Nurfaizah Hanim, mereka menjangkakan mendapat bayi baharu pada Hari Raya Aidiladha baru-baru ini kerana mengikut pengalaman lalu, ketiga-tiga anak mereka lahir dua atau tiga minggu awal dari tarikh jangkaan doktor.

"Kami ingatkan awal lah macam abang-abang yang lain. Rupanya hanya awal dua hari, tambahan pula Hari Merdeka. Memang saya teruja sangat. Ibu bapa dan keluarga pun sangat gembira.

Artikel Berkaitan:

"Saya tak boleh gambarkan perasaan saya kerana bukan semua orang dapat peluang macam ini. Ia akan menjadi memori terindah dalam hidup anak saya selepas ini," katanya.

Pasangan jurutera dari Cherang, Panji itu menyambut kelahiran bayi lelaki mereka pada jam 5.20 pagi dengan berat 3.35 kilogram dan sudah memilih nama yang sesuai untuk anak mereka.

Berlainan pula dengan pengalaman Rokiah @ Shyriena Che Isa, 31, dari Kuala Tiga, Tanah Merah yang berdepan perasaan gemuruh apabila doktor memberitahu dia terpaksa dibedah disebabkan beberapa komplikasi yang berlaku.

Bagaimanapun kuasa ALLAH penentu segalanya apabila tiba masa pembedahan hendak dilakukan, dia dapat melahirkan bayi ketiganya secara normal pada jam 7.09 pagi.

"Saya takut dan gementar sebab pada awalnya memang rancang lahirkan secara normal, tapi bila doktor kata kena bedah memang ALLAH sahaja yang tahu perasaan ini.

"Tapi Alhamdulillah, doktor berjaya membantu saya melahirkan bayi lelaki secara normal dan inilah hadiah terindah tambahan pula pada hari kemerdekaan negara.

"Keluarga saya juga sangat gembira kerana dalam keluarga besar kami, inilah satu-satunya ahli keluarga yang lahir pada tarikh keramat ini. Saya rasa sangat bangga dan cukup bertuah, semoga dia akan jadi anak yang baik kepada agama, bangsa dan negara," katanya.

Sementara itu, Pakar Perunding, Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital KPJ Pakar Perdana Kota Bharu, Dr Zanariah Jaafar berkata, sehingga jam 11 pagi tadi, pihaknya telah menyambut tiga kelahiran bayi merdeka untuk tahun ini.

"Bayi pertama dilahirkan pada jam 4.43 pagi, yang kedua pula pada jam 5.20 pagi dan yang ketiga pada 7.09 pagi tadi. Kita masih menunggu kelahiran dua bayi lagi yang mungkin melalui proses pembedahan.

"Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik dan kami sangat berbangga dengan ibu dan bayi masing-masing kerana tarikh ini adalah tarikh yang dinanti-nantikan rakyat Malaysia untuk menyambut hari kemerdekaan," katanya.