Anak muda hargailah nikmat kemerdekaan ini: MB Johor

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Anak muda perlu bersyukur dan menghargai nikmat kemerdekaan yang dikecapi negara, kata Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Beliau berkata, kemerdekaan ini memerlukan semangat patriotisme yang tinggi untuk dikekalkan.

"Kita warisi tugas ini daripada satu generasi ke satu generasi. Saranan kepada anak muda, hargai nikmat kemerdekaan ini.

"Semangat perpaduan perlu datang secara sukarela menerusi kesedaran setiap individu bahawa nasib mereka akan terpelihara secara bersama," katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Perarakan dan Perbarisan Hari Kebangsaan ke-62 di Dataran Bandaraya Johor Bahru hari ini.

Si cilik turut merakam gambar dengan peserta perbarisan.
Si cilik turut merakam gambar dengan peserta perbarisan.

Saranan itu merupakan satu daripada empat formula digariskan beliau untuk memperkukuhkan jalinan rakyat berbilang bangsa.

Selain itu, beliau turut menyifatkan kerukunan rakyat akan diperoleh apabila menjiwai Rukun Negara dengan mengamalkan permuafakatan, kesederhanaan, semangat toleransi dan keadilan sosial.

"Bukan mudah bagi manusia berbeza latar belakang, agama dan budaya untuk bekerjasama seperti yang kita lakukan di negara ini.

"Kenapa perlu lihat dan bahas perbezaan antara kita sedangkan masih banyak persamaan yang masih boleh diraikan bersama?" katanya.

Artikel Berkaitan:

Pancaragam gabungan TLDM dan ATM 10 RAMD Kem Majidi Batu Pahat serta Kem Ulu Tiram yang mengiringi peserta perbarisan.
Pancaragam gabungan TLDM dan ATM 10 RAMD Kem Majidi Batu Pahat serta Kem Ulu Tiram yang mengiringi peserta perbarisan.

Sahruddin menambah, rakyat Malaysia perlu mengamalkan perkongsian hidup meskipun bukan mudah dilaksanakan.

"Hal ini menuntut komitmen untuk berkongsi, berkompromi dan berkorban dalam banyak perkara.

"Berkongsi, berkorban dan mengalah bukan bererti kita kalah atau lemah, tetapi memperlihatkan prinsip keperibadian yang unggul juga matang dalam mendepani pelbagai isu demi keharmonian kaum, agama serta bahasa," katanya.

Semangat... Antara kanak-kanak yang hadir menyaksikan perbarisan sempena Hari Kemerdekaan ke-62 hari ini.
Semangat... Antara kanak-kanak yang hadir menyaksikan perbarisan sempena Hari Kemerdekaan ke-62 hari ini.

Beliau turut menggalakkan interaksi antara kaum termasuk memperbanyakkan program kemasyarakatan.

Menurutnya, penyebaran tanpa tapisan dan kesahihan sumber maklumat di alam siber boleh membawa kepada perbalahan.

"Oleh itu rakyat perlu lebih peka dan berwaspada dalam menerima segala informasi yang dipaparkan di media sosial," katanya.

No Image Caption

Sementara itu, seramai 3,000 peserta dengan 130 kontinjen menyertai perarakan dan perbarisan sempena Hari Kebangsaan ke-62 peringkat Johor.