Dua agensi ditugaskan selenggara jalan

Izham dan Sze Han
Izham dan Sze Han
A
A
A
SHAH ALAM - Kerajaan akan menyelaraskan mekanisme dan tanggungjawab penyelenggaraan di negeri ini kepada dua agensi sahaja berbanding empat agensi ketika ini, bagi penyelenggaraan lebih efektif, bermula tahun depan.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, beberapa kawasan terutama di Klang memang diakui banyak berlaku isu kerosakan jalan dan antara punca ia gagal diselesaikan secara efektif ialah isu pihak mana yang bertanggungjawab.

"Isu ini memang sudah lama, cuma apa yang perlu difahami jika di Klang, ada jalan-jalan yang bukan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) atau Jabatan Kerja Raya (JKR) sebaliknya di bawah Lembaga Pelabuhan terutama jalan ke West Port.

"Sekarang ini orang ingat semua jalan di bawah JKR, ini yang menjadi isu. Klang memang kawasan yang kita kenal pasti sering terjadi masalah ini dan saya juga telah bawa isu ini ke Dewan Negeri Selangor

"Secara dasarnya kerajaan telah setuju untuk buat penyelarasan bagi menentukan pihak yang bertanggungjawab bagi kerja selenggara jalan, sistem parit dan longkang serta sungai. Lepas ini kita akan buat penilaian inventori dan kemudian kita akan buat serahan jalan ini kepada dua agensi sahaja iaitu PBT dan JKR termasuk selaraskan jalan yang 'tak bertuan' ini," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, ketika ini mana-mana aduan jalan di bawah JKR sentiasa diambil perhatian kerana agensi itu mempunyai standard operasi prosedur (SOP) di mana setiap aduan kerosakan jalan bawah JKR akan diselesaikan dalam masa 24 jam.

Terdahulu, terdapat sesetengah aduan yang mengatakan kerja-kerja penyelenggaraan jalan oleh PBT serta penjagaan kebersihan kawasan tertangguh kerana peruntukan tiada atau telah habis.

Antara kawasan yang sering timbul isu jalan rosak dan berlubang adalah sekitar Klang seperti Pelabuhan Klang serta Taman Sg Aur manakala isu kebersihan pula melibatkan beberapa kawasan di Puchong termasuk Kg Seri Aman.

Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han turut menafikan pihak PBT ketiadaan peruntukan untuk melaksanakan kerja berkenaan.
Artikel Berkaitan:


"Sekiranya (dakwaan) benar, tiga hari lagi kita akan menyambut 2019, peruntukan 2019 telah boleh diguna. Tetapi saya lihat tiada masalah, malah jika ada isu penduduk di Kg Seri Aman boleh ajukan kepada MPSJ.

"Bagi 2019, PBT telah diminta untuk membuat rancangan lebih awal bagi penyelegaraan jalan, saya telah dimaklumkan bahawa senarai-senarai jalan telah siap sedia dan kerja penurapan akan bermula awal tahun 2019," katanya.