Persatuan Mahasiswa kecewa dakwa BSH tidak telus

Mohammad Amar menunjukkan WhatsApp yang dihantar oleh pegawai YNS dalam kumpulan penerima BSH.
Mohammad Amar menunjukkan WhatsApp yang dihantar oleh pegawai YNS dalam kumpulan penerima BSH.
A
A
A
SEREMBAN – Persatuan Mahasiswa Negeri Sembilan (Nessa) kecewa apabila Bantuan Sara Hidup (BSH) untuk mahasiswa dipercayai dilaksanakan secara tidak telus.

Pengerusinya, Mohammad Amar Zaim Zulkiflee berkata pihaknya menerima banyak rungutan daripada mahasiswa yang nama mereka tidak tersenarai, walaupun secara dasarnya telah memenuhi syarat yang ditetapkan.

Katanya, sejak bantuan tersebut diperkenalkan, pihaknya telah menerima banyak permohonan daripada mahasiswa anak Negeri Sembilan seluruh Institut Pengajian Tinggi, tetapi ramai antara mereka permohonan ditolak.

"Nessa cuba dapatkan respon daripada pihak Yayasan Negeri Sembilan (YSN) yang mengendalikan pengurusan BSH mahasiswa ini, namun malangnya kami tidak dilayan.

"Malah senarai nama penerima yang kami minta untuk rujukan juga tidak boleh diberikan atas alasan perkara itu 'rahsia', menyebabkan kami tidak dapat menyemak siapa yang sudah dapat dan sebaliknya.

"Bagi Nessa jika perkara itu betul, pihak Yayasan (YNS) tidak perlu bimbang, senarai itu hanya untuk rujukan kami sahaja bukan untuk tujuan lain, lagi pun banyak hal ehwal mahasiswa anak Negeri Sembilan, Nessa kendalikan atas dasar kebajikan serta kepentingan bersama," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di sebuah restoran di sini, semalam.

Tambah Mohammad Amar, Nessa mempunyai keahlian seramai 18,000 yang terdiri daripada mahasiswa anak Negeri Sembilan yang belajar di 22 institut Pengajian Tinggi seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Mohammad Amar bersama beberapa perwakilan menunjukkan surat bantahan ketidakpuasan hati terhadap pelaksanaan BSH yang dianggap tidak telus.
Mohammad Amar bersama beberapa perwakilan menunjukkan surat bantahan ketidakpuasan hati terhadap pelaksanaan BSH yang dianggap tidak telus.

Dalam pada itu, Ammar juga memaklumkan terdapat penerima BSH yang diugut akan lambat menerima pembayaran duit bulanan BSH berjumlah RM100, jika tidak menghadiri program yang dianjurkan oleh pihak tertentu.

“Ini bukan tuduhan sebaliknya kami ada bukti perbualan itu kerana ia disebut dalam kumpulan WhatsApp yang terdiri daripada penerima BSH dan pengendali yang menjaga amanah daripada pihak YSN.

“Kami minta jangan cuba mempolitikkan mahasiswa, jika benar mahu memberi bantuan, sila lakukan secara profesional dan telus, kami tidak diminta untuk layanan istimewa, tetapi cukuplah sekadar kami diberikan hak untuk bersuara secara terus dan meluahkan semuanya kepada Menteri Besar (Datuk Seri Aminuddin Harun) mengenai permasalahan yang di hadapi oleh Nessa sekarang ini.

“Kami sudah cukup bersabar, entiti Nessa seolah cuba ‘dikuburkan’ oleh pihak tertentu selain menuduh kami proksi kerajaan terdahulu, organisasi kami adalah jelas iaitu ‘government of the day’, sama juga sekarang ini kami sentiasa menyokong kepimpinan Menteri Besar dan sangat berharap nasib kami akan terus terbela di bawah kebijaksanaan Datuk Seri Aminuddin Harun,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya akan menyiasat individu yang cuba mengugut mahasiswa yang juga penerima BSH.

Katanya, pihaknya memandang serius mengenai dakwaan tersebut dan akan meminta untuk menyiasatnya segera.

"Dakwaan mengatakan pegawai YSN mengugut penerima dengan melambatkan bayaran duit BSH itu, kita akan siasat, kalau betul kita akan ambil tindakan, dan jika itu tidak betul maka kita akan ambil tindakan pula terhadap dia.

"Apa pun saya menasihatkan kepada semua penerima agar sentiasa bersyukur dengan bantuan yang diterima, kerana Negeri Sembilan merupakan negeri yang pertama melaksanakan program bantuan seperti ini.

"Kalau ada program kerajaan negeri, datanglah untuk mengetahui apa perancangan yang kita laksanakan, kalau tidak hadir (program kerajaan negeri) itu tidak adil untuk kita,"katanya.