Tanam tebu di bibir lebih manis

A
A
A

SYUKURLAH kepada Tuhan, akhirnya Menteri Pembangunan Luar Bandar mengakui juga yang miskin bandar lebih parah daripada miskin luar bandar. Cerita-cerita miskin bandar ini sudah lama diperkatakan oleh rakyat jelata. Sudah ramai juga yang menjerit pekik memberitahu.

Namun begitulah keadaannya. Ia seperti paku dan pahat pula. Bila diketuk baru masuk. Tidak diketuk maka paku itu berselerak merata-rata bersenang-lenang pula.

Sejak tahun 2017 pun ada juga saranan untuk dikaji semula atau dinilai kembali kriteria miskin bandar ini. Banyaklah sebab musabab miskin bandar ini. Antaranya, disebabkan oleh gaji kecil dan kos hidup tinggi. Sebelum itu, Bank Negara pun ada juga memberi data dan angka-angka untuk orang-orang bertanggungjawab menilainya. Menurut data Bank Negara, kehidupan normal di bandar ini untuk keluarga yang mempunyai dua orang anak sepatutnya RM6,500.

Ini data dari tahun 2017 lagi. Tahun 2018 pun ada yang bercakap lagi tentangnya. Dan tahun ini pun masih ada lagi yang bercakap seperti Menteri Pembangunan Luar Bandar ini. Hakikatnya hanya cakap berdegar-degar, tahi pula tersangkut di gelegar.

Kata menteri lagi, antara yang menyumbang kepada miskin bandar ialah kerana menyewa rumah. Kos-kos menyewa rumah ini agak besar di bandar. Tiada sewa di bawah RM500 lagi. Paling murah pun ribu-ribu juga untuk setiap keluarga.

Oleh itu perlulah ada penyelesaian bagaimana untuk menjadikan orang yang dikatakan miskin bandar ini dapat memiliki rumah sendiri. Buat rumah PRIMA pun bukan semua orang yang dapat membelinya. Masih ada yang gagal mendapat pinjaman. Antara sebab, gaji yang tidak cukup syarat.

Jika susah sangat hendak berfikir, maka sukacitanya saya memberi cadangan.

Sepatutnya rumah ini perlu diberi percuma sahaja kepada rakyat jelata. Ini asas kepada kehidupan sempurna. Banyak rumah terbengkalai, rumah yang tidak diduduki dan yang ditinggalkan begitu saja perlu dibuat sesuatu.

Artikel Berkaitan:

Begitu juga bangunan komersial yang sudah buruk juga perlu diberi perhatian. Baru-baru ini pun Menteri Pendidikan ada menyarankan untuk memberi sewa kuarters guru yang terbiar. Baguslah cadangan itu.Namun begitu saya menyarankan agar kerajaan mengambil alih rumah dan bangunan yang seperti saya sebutkan di atas tadi. Ambil alih seperti akta pengambilan tanah untuk tujuan pembangunan. Akta pengambilan tanah boleh digunakan untuk pengambilan rumah pula.

Statistik

Syaratkan sahaja setiap orang hanya boleh memiliki satu rumah untuk satu nama. Rumah dan bangunan itu diperbaiki dan kemudian diberi percuma kepada mereka yang masih tidak mempunyai rumah atas nama sendiri. Maka bila sudah ada rumah sendiri maka sebahagian besar masalah kemiskinan hidup sudah selesai.

Rakyat jelata ini sudah tidak perlu memikirkan lagi bagaimana untuk membayar sewa rumah. Hidupnya pun akan lebih berkualiti. Yang hanya perlu difikirkan ialah untuk kesejahteraan anak-anak. Maka kuranglah sedikit tekanan hidup sebagai manusia

Itulah salah satu cara untuk menyelesaikan miskin bandar ini. Satu hal lagi yang berlaku, selepas kenyataan daripada menteri tentang miskin bandar ini diperkatakan, hebohlah tentang satu kajian oleh Profesor daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pula. Profesor ini menyatakan statistik kemiskinan yang dinyatakan oleh kerajaan sebanyak 0.4 peratus ini adalah tidak masuk akal. Kata Profesor bijak pandai ini, data statistik ini seperti main silap mata.

Kata beliau lagi, 0.4 peratus yang bersamaan dengan 24 ribu orang, jika dibuat matematik mudah, bersamaan dengan pendapatan sebulan lebih kurang RM980 sahaja. Maka perbelanjaan untuk satu hari ialah RM33 sahaja. Jika keluarga itu mempunyai empat orang ahli keluarga, maka seorang mempunyai keupayaan berbelanja RM8 sahaja.Saya ada membuat kira-kira untuk sehari berbelanja. Makan nasi pun sudah RM5. Itupun jika makan nasi lauk biasa-biasa sahaja. Makan lauk ayam goreng pun sudah lebih belanjanya. Belum masuk air minumnya lagi.

Perbelanjaan lain lagi? Pengangkutan pergi kerja, bil api, air dan sewa rumah lagi sudah berapa? Maka saranan Profesor ini supaya ditingkatkan lagi garisan minima kemiskinan ini perlu diberi perhatian juga. Jangan hanya bermain silap mata dengan angka-angka sahaja.

Selepas reda isu-isu di atas nanti, mungkin tahun depan atau tiba masa mengundi, maka kita akan dapat menonton siaran ulangan pula. Janji tinggal janji. Tindakan atau cadangan seperti bertanam tebu dibibir sahaja. Realitinya, tebu memang manis, cuma rakyat jelata yang sentiasa merasa pahit.