Media jangan api-apikan isu perkauman, agama

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta pihak media tidak lagi mengapi-apikan isu perkauman dan agama supaya api ketegangan antara kaum ketika ini kembali reda.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, beberapa isu membabitkan kaum dan agama yang dilaporkan media hanya mencetuskan kemarahan pihak tertentu, menyebabkan perkara kecil menjadi besar.

Menurutnya, media tidak boleh membiarkan mereka dipergunakan puak ekstremis dengan mengapi-apikan kebencian antara kaum dan agama, kerana akibatnya boleh menyebabkan perpecahan dan peperangan seperti yang berlaku pada beberapa negara di Asia Barat.

“Kita dapati ada pihak yang menggembar-gemburkan soal kaum, agama dan perbezaan. Ini semua boleh diselesaikan oleh kerajaan dalam Kabinet. Namun, oleh kerana banyak laporan media yang menimbulkan kemarahan pihak itu dan ini, maka isu yang kecil menjadi besar dan ia memisahkan kaum di negara kita.

“Kalau kita membenarkan diri kita dipengaruhi puak ekstremis dan media turut mengapi-apikan perasaan ini, adakah kita mahu jadi seperti negara di Asia Barat yang berperang walaupun mereka satu bangsa dan bahasa.

“Saya minta pada media, janganlah mainkan isu perkauman dan agama. Laporlah kebenaran. Jika kita hanya lapor benda yang tak baik, saya khuatir jika permusuhan antara kaum dan agama sudah berlaku, ia amat sukar untuk dipadamkan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden PH di sini Yayasan al-Bukhary hari ini.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu berkata, mesyuarat itu antara lain membincangkan secara panjang lebar berhubung perkara itu kerana wujud dakwaan mengatakan kerajaan tidak menangani masalah kaum dan agama yang timbul dengan berkesan.

“Kita putuskan supaya untuk adakan lebih banyak perhubungan dengan media arus perdana dan alternatif supaya rakyat pelbagai kaum, agama, bahasa dan budaya dapat hidup aman dan rasa selamat ke mana saja kita pergi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai kebanyakan laporan media yang disifatkan kontroversi adalah berdasarkan kenyataan pemimpin PH sendiri, Dr Mahathir berkata, pemimpin peringkat akar umbi kerap melatah kerana tidak memahami isu sebenar.

“Pemimpin PH di peringkat rendah ini kadang-kadang dia tak tahu masalah, sebab itu dia latah, tapi orang lain seperti parti lawan pun cakap pasal itu juga (isu kaum dan agama),” katanya.

Selain itu, ditanya sama ada media akan disekat jika tidak mengikut kehendak kerajaan, Dr Mahathir menegaskan PH sudah memberikan kebebasan kepada media dan sedia bertemu wartawan berbanding ketika pentadbiran lalu.

“Berapa banyak kali kamu jumpa Datuk Seri Najib Razak bila ada isu besar? Kamu tak boleh jumpa dia, dia lari. Tapi saya tak pernah lari daripada media,” katanya.

Beliau juga bimbang dengan Piagam UMNO dan Pas kerana mungkin bakal memecahkan perpaduan kaum di negara ini.

"Piagam UMNO dan Pas ini kita bimbang jika mereka main isu agama dan kaum, ini tidak sihat bagi negara," katanya.