Agihan pendapatan ASM 2 Wawasan 5 sen seunit

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) hari ini mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 5 sen seunit bagi Amanah Saham Malaysia 2 Wawasan (ASM 2 Wawasan) untuk tahun kewangan berakhir 31 Ogos, 2019.

ASNB, anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), akan membuat bayaran sebanyak RM1.06 bilion dalam bentuk agihan pendapatan kepada seramai 883,049 pemegang unit yang memiliki 21.6 bilion unit pada masa ini.

Dana itu mencatatkan pendapatan bersih sebanyak RM760 juta bagi tempoh 11 bulan pertama tahun kewangan setakat 31 Julai 2019, berikutan prestasi pasaran saham tempatan yang suram akibat faktor luaran dan global.

“Memandangkan pasaran domestik dan kewangan global yang mencabar, kami amat fokus terhadap usaha untuk memperkukuhkan lagi aspek daya tahan,” kata Pengerusi PNB Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ASNB juga kekal komited terhadap mandatnya untuk memperkukuh kesejahteraan ekonomi komuniti kalangan Bumiputera dan rakyat Malaysia menerusi pelaburan bagi memastikan pulangan yang mapan.

Sejak permulaan tahun kewangan bagi ASM 2 Wawasan, indeks penanda aras FBM KLCI susut sebanyak 10.16 peratus daripada 1,819.66 pada penutupan 31 Ogos, 2018 ke paras 1,634.87 setakat 31 Julai, 2019.

Transaksi dana itu digantung pada 29 Ogos hingga 2 September ini berikutan usaha pengiraan agihan pendapatan tersebut. - Bernama

Artikel Berkaitan: