ASNB isytihar pengagihan pendapatan

No Image Caption
A
A
A
AMANAH Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan 5.00 sen seunit untuk dana harga tetap Amanah Saham Malaysia 2 Wawasan (ASM 2 Wawasan) bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2019.

ASNB dalam satu kenyataan medianya berkata, ASM 2 Wawasan akan membayar sebanyak RM1.06 bilion sebagai pengagihan pendapatan kepada 883,049 pemegang unit yang memiliki 21.6 bilion unit.

Menurut ASNB, dana harga tetap tersebut mencatatkan pendapatan bersih sebanyak RM760 juta bagi 11 bulan pertama tahun kewangannya setakat 31 Julai 2019, di sebalik prestasi pasaran saham tempatan yang agak lemah kesan daripada faktor-faktor luaran dan global.

"Sejak permulaan tahun kewangan ASM 2 Wawasan, FBM KLCI telah menurun sebanyak 10.16 peratus daripada 1,819.66 pada penutup 31 Ogos 2018 kepada 1,634.87 pada 31 Julai 2019. Setakat 31 Julai 2019, ASM 2 Wawasan telah menjana pendapatan kasar sebanyak RM979.5 juta, dengan keuntungan daripada jualan saham menyumbang sebanyak RM231.05 juta atau 24 peratus.

"Pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat tersenarai dan tidak tersenarai berjumlah RM569.48 juta atau 58 peratus daripada jumlah pendapatan kasar, dengan baki RM178.98 juta atau 18% daripada pelaburan dalam sukuk/deposit tetap Islamik serta pendapatan dari instrumen berpendapatan tetap lain," kata ASNB.

ASNB berkata, pengiraan pengagihan pendapatan untuk ASM 2 Wawasan adalah berdasarkan purata baki minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan dana tersebut.

"Pengagihan yang diisytiharkan oleh ASM 2 Wawasan akan dilaburkan semula sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit dan akan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 September 2019," kata ASNB.
Artikel Berkaitan:


Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr. Zeti Aziz berkata, ASNB gembira memberikan pulangan yang kompetitif secara konsisten kepada pemegang unit kami walaupun berhadapan dengan pasaran semasa yang mencabar sepanjang tahun kewangan dana ini.

"Untuk menghadapi cabaran pasaran kewangan domestik dan global yang sangat tidak menentu, PNB memberikan tumpuan kepada pengukuhan daya tahan syarikat dan kekal komited kepada mandat kami untuk meningkatkan kekayaan ekonomi masyarakat Bumiputera dan rakyat Malaysia menerusi pelaburan yang kukuh, yang kami yakin akan memastikan pulangan yang mapan untuk jangka panjang," katanya.

Semua urus niaga bagi ASM 2 Wawasan telah ditangguhkan buat sementara waktu mulai 29 Ogos hingga 2 September 2019 untuk tujuan pengiraan pengagihan pendapatan.