Hilang kediaman tidak halang Nur Fazira sarung jersi negara

Zamzuri(tiga kanan) menyempurnakan gimik penyerahan sumbangan baucer membeli-belah barangan di Econsave cawangan Parit Buntar bernilai RM1,000 kepada Nur Fazira(empat kanan) di pasaraya itu, Parit Buntar hari ini.
Zamzuri(tiga kanan) menyempurnakan gimik penyerahan sumbangan baucer membeli-belah barangan di Econsave cawangan Parit Buntar bernilai RM1,000 kepada Nur Fazira(empat kanan) di pasaraya itu, Parit Buntar hari ini.
A
A
A

PARIT BUNTAR - Tragedi kebakaran mengakibatkan keluarga Ketua Pasukan Bola Baling Perak, Nur Fazira Mohd Nor, 21, hilang kediaman pada 13 Ogos lalu tidak sesekali menggugat semangat atlet itu untuk terus berbakti kepada negara pada masa terdekat.

Lebih mengharukan, Nur Fazira bertekad untuk terus membantu pasukan negara bertanding dalam satu kejohanan bola baling bertaraf antarabangsa yang bakal berlangsung di Negeri Sembilan pada bulan Oktober hadapan.

Menurutnya, kesungguhannya untuk terus berbakti kepada negara diperkuatkan lagi dengan jaminan Majlis Sukan Negeri(MSN) Perak untuk membantu menyediakan kembali kelengkapan sukannya yang musnah dijilat api dalam kejadian kebakaran rumahnya sebelum ini.

"Cuma saya terpaksa menangguhkan pengajian saya dalam kursus Sains Sukan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada semester ini untuk membantu keluarga kini tinggal sehelai sepinggang.

"Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak prihatin terhadap bencana menimpa kami sekeluarga terutama kerajaan negeri, MSN Perak, pasaraya Econsave dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) tempatan," katanya kepada media sewaktu menerima sumbangan baucar membeli-belah daripada Econsave cawangan Parit Buntar bernilai RM1,000 di sini hari ini.

Turut hadir Pengurus Operasi Pasaraya Econsave Zon Utara, Zamzuri Mansor.

Sementara itu, Zamzuri sewaktu ditemui menegaskan pihak pengurusan mendapat tahu keluarga Nur Fazira yang ditimpa bencana kebakaran baru-baru ini merupakan pelanggan tetap pasaraya itu.

"Pasaraya Econsave sentiasa prihatin terhadap nasib keluarga-keluarga yang kurang berkemampuan dan bernasib malang seperti ini.

Artikel Berkaitan:

"Tahun ini sahaja, selain sumbangan perayaan kepada golongan memerlukan, kami turut membantu lebih 20 kes khas atau keluarga seperti ini dengan jumlah sumbangan keseluruhan lebih RM20,000 disalurkan daripada tabung Dana Econsave Prihatin 2019.

"Pasaraya Econsave akan terus komited untuk menyalurkan sumbangan kepada golongan memerlukan dan bernasib malang di seluruh negara sebagai memenuhi tanggungjawab sosial korporat dan meraikan komitmen pelanggan setia kepada kami," katanya.