Azmin jangan buat tuduhan rambang!

Wan Fauzuldin
Wan Fauzuldin
A
A
A

KUANTAN - Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak seharusnya membuat tuduhan rambang dan mempertikaikan keputusan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pemilihan jawatan penting parti.

Naib Ketua PKR Cabang Paya Besar, Wan Fauzuldin Wan Samad berkata, gesaan Azmin agar Anwar mengkaji semula pelantikan itu atas alasan tidak adil dan tokoh dilantik dikaitkan dengan perpecahan dalam parti tidak wajar dipersoalkan.

"Siapakah yang beliau maksudkan sebagai pemecah belah parti? Adakah Naib Presiden yang baru dilantik, Rafizi Ramli kerana menjadi lawannya pada pemilihan parti baru-baru ini atau Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifudin Nasution yang dikekalkan.

“Sebagai timbalan presiden yang juga menteri kanan, Azmin tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian,” katanya dalam satu kenyatan hari ini.

Beliau berkata, sekiranya Azmin menganggap lawannya pemecah belah parti, maka tidak salah juga sekiranya ada yang beranggapan serupa terhadap beliau sekiranya benar terdapat perpecahan.

“Hakikatnya, tiada perpecahan berlaku seperti digambarkan malah Rafizi mengalah meskipun tahu beliau boleh menang sekiranya sistem E-Voting berjalan dengan baik tanpa dimanipulasikan.

“Rafizi menerima kemenangan Azmin meskipun dengan jumlah undi yang tipis untuk mengelakkan perpecahan berlaku di dalam parti," katanya.

Wan Fauzuldin berkata, tidak masuk akal sekiranya ada yang mendakwa Rafizi sebagai punca perpecahan dan tidak layak dilantik sebagai Naib Presiden.

Artikel Berkaitan:

“Tiga jawatan Naib Presiden lantikan itu sememangnya terletak di bawah kuasa presiden begitu juga dengan pelantikan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR selain yang dipertandingkan.

“Pelantikan setiausaha agung juga sememangnya hak presiden kerana mereka yang dilantik mestilah seorang yang dipercayai oleh presiden untuk menjalankan tugasnya,” katanya.

Justeru katanya, Azmin tidak wajar mempertikaikannya sebagaimana orang lain tidak boleh mempertikaikan hak-haknya sewaktu menjadi Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Selangor dan Menteri Besar Selangor sebelum ini.

“Beliau tidak boleh menyamakan pandangannya terhadap seseorang dengan pandangan presiden. Musuhnya di dalam politik tidak boleh dianggap sebagai musuh Anwar dan parti.

“Kami di peringkat cabang akur dengan kuasa yang ada pada ketua cabang, tapi mengapa dia tidak boleh akur dengan kuasa yang ada pada presiden,” katanya.