Wilayah Papua masih lumpuh

Beberapa premis perniagaan dan kenderaan dibakar perusuh selepas tunjuk perasaan di Jayapura bertukar ganas.
Beberapa premis perniagaan dan kenderaan dibakar perusuh selepas tunjuk perasaan di Jayapura bertukar ganas.
A
A
A

JAKARTA - Bangunan kerajaan dan sekolah di wilayah Papua masih ditutup hari ini susulan tunjuk perasaan yang bertukar ganas sejak minggu lalu.

Kebanyakan premis perniagaan termasuk beberapa buah stesen minyak dan bank terutamanya di ibu negeri, Jayapura tidak beroperasi sehingga menyukarkan penduduk tempatan mendapatkan bekalan bahan bakar serta barangan keperluan asas.

Tunjuk perasaan di wilayah paling timur Indonesia itu tercetus susulan diskriminasi etnik sehingga membawa kepada provokasi untuk mendapatkan kemerdekaan.

Perusuh turut bertindak ganas apabila membakar bangunan kerajaan, pasar dan penjara.

Tinjauan agensi berita Kompas di Jayapura mendapati sebahagian besar penduduk masih tidak berani meninggalkan rumah masing-masing.

Sementara itu, Ketua Perhubungan Awam Polis Papua, Komisioner Besar Ahmad Mustofa Kamal berkata, pihaknya sedang berusaha memulihkan keadaan tunggang-langgang di wilayah tersebut.

"Kami akan memastikan situasi di Jayapura kembali pulih. Mudah-mudahan esok penduduk kembali menjalankan aktiviti harian dengan normal," katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan penduduk supaya tidak terpengaruh dengan provokasi dan khabar angin sehingga mengambil tindakan yang menyalahi undang-undang.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, lebih 1,000 anggota polis dihantar ke rantau itu yang sememangnya padat dengan anggota tentera berikutan konflik dengan kumpulan bersenjata sejak berdekad lalu. - Agensi