Zyn Nakal didenda cedera pekerja stesen minyak, halang tugas polis

Zyn Nakal, 20, atau nama sebenarnya, Mohd Raziq Rosli ketika hadir di pekarangan mahkamah. -Foto Sinar Harian
Zyn Nakal, 20, atau nama sebenarnya, Mohd Raziq Rosli ketika hadir di pekarangan mahkamah. -Foto Sinar Harian
A
A
A

PADAH mendatangkan kecederaan terhadap seorang pekerja stesen minyak dan menghalang polis menjalankan tugas, seorang penyanyi baru didenda RM2,800 oleh Mahkamah Majistret Ampang.

Majistret Mohammad Firdaus Saidina Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap Zyn Nakal yang mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan tersebut.

Mahkamah turut memerintahkannya menjalani hukuman penjara 12 bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.

Dia bagaimanapun membayar denda.

Berdasarkan pertuduhan, Zyn Nakal, 20, atau nama sebenarnya, Mohd Raziq Rosli mengaku mencederakan warga Bangladesh, Ahmad Mostak.

Dia juga mengaku menghalang anggota polis Lans Koperal Muhammad Safuan Amiruddin Ahmad yang sedang menjalankan tugas iaitu dengan tidak menunjukkan kad pengenalan bagi tujuan pemeriksaan.

Kesalahan itu dilakukan di Petronas Pandan Prima (MR2), Ampang, jam 3 petang pada 28 Ogos lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Pendakwa Raya, S Sangitaa mencadangkan mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal agar menjadi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Zyn Nakal yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan bekerja sebagai penulis lirik dan penyanyi yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

Rabu lalu, penyanyi itu ditahan polis selepas menumbuk dan memaki hamun seorang pekerja sebuah stesen minyak selepas mangsa dipercayai enggan menerima kaedah bayaran pembelian minuman yang mahu dibelinya menggunakan kad kredit.

Dalam kejadian itu, penyanyi terbabit turut menghalang tugas penjawat awam dengan mempertikaikan kuasa anggota polis ketika diminta menunjukkan MyKad miliknya bagi tujuan siasatan.

Dia ditahan selepas enggan memberi kerjasama. Tahanan reman dibuat selama dua hari.