Persembahan menarik warnai sambutan Hari Kebangsaan ke-62

Sesi raptai penuh Sambutan Hari Kebangsaan 2019 yang akan berlangsung di Putrajaya esok.
Sesi raptai penuh Sambutan Hari Kebangsaan 2019 yang akan berlangsung di Putrajaya esok.
A
A
A

PUTRAJAYA - Sambutan Hari Kebangsaan ke-62 yang akan berlangsung di Dataran Putrajaya esok, pastinya menjadi detik yang paling dinanti seluruh rakyat Malaysia.

Bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’, sambutan tahun ini juga tidak kurang meriahnya dengan pelbagai persembahan dan acara menarik seperti mana tahun-tahun sebelumnya.

Pemilihan tema itu menekankan usaha memupuk perpaduan, semangat cintakan negara dan menonjolkan nilai integriti serta jati diri dalam kalangan rakyat Malaysia.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dijadualkan berangkat sebagai tetamu utama pada majlis yang bakal bermula pada jam 7 pagi itu.

Kontinjen Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membawa aset kenderaan bomba, berarak pada sesi raptai penuh semalam.
Kontinjen Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membawa aset kenderaan bomba, berarak pada sesi raptai penuh semalam.

Dijadualkan hadir sama, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan menteri-menteri Kabinet.

Menanti tarikh keramat 31 Ogos esok, segala persiapan kini telah sedia sepenuhnya termasuklah acara perbarisan dan perarakan yang menjadi tonggak utama sambutan. Pada tahun ini, satu Persembahan Khas Sayangi Malaysiaku dan Malaysia Bersih akan dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

Persembahan ini akan dibahagikan kepada empat segmen utama iaitu peranan kerajaan, rasuah dan salah guna kuasa, kebangkitan semula rakyat dan negara serta Malaysia baharu. Bagi menjayakan persembahan ini, seramai 1,441 orang peserta akan mempersembahkan lakonan dan seni tari muzikal dengan berpakaian pelbagai imej yang berwarna-warni.

Turut menarik perhatian, buat pertama kalinya di Putrajaya telah diadakan persembahan Grafik Manusia yang mempersembahkan pelbagai jenis grafik yang menarik dengan mesej-mesej yang selari dengan tema dan acara-acara yang sedang berlangsung. Persembahan ini melibatkan seramai 2,250 pelajar dari 53 buah sekolah daripada negeri Selangor.

Kontinjen Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membawa kereta berhias SPRM Float Pelan Anti Rasuah Nasional bertemakan Malaysia Bersih.
Kontinjen Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membawa kereta berhias SPRM Float Pelan Anti Rasuah Nasional bertemakan Malaysia Bersih.

Acara pada tahun ini juga akan diserikan dengan perarakan kereta berhias daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan perarakan belon dan maskot animasi terkenal di Malaysia selain tembakan meriam sebanyak 14 das, pertunjukan lintas udara, perarakan kereta kebal juga bakal dipersembahkan kepada seluruh rakyat di negara ini.

Sesi raptai akhir semalam juga menyaksikan penglibatan keseluruhan 14,885 peserta perarakan dengan 34 kontinjen yang mengambil bahagian.

Turut hadir menyaksikan persiapan akhir itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2019, Gobind Singh Deo.

Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2019 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia ketika menyertai raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan 2019.
Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2019 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia ketika menyertai raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan 2019.

Tambah menarik lagi, konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) anjuran Jabatan Penerangan Malaysia yang diterajui oleh Roselindawati Abdul Rahman akan menyertai Acara Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan tahun ini.

Aktiviti yang telah memasuki edisi ke-17 ini, menyaksikan penglibatan seramai 133 orang peserta serta 62 kenderaan yang terdiri daripada 17 kenderaan pacuan empat roda pelbagai agensi kerajaan, 30 motosikal berkuasa tinggi dari Kelab Permotoran Johor (J17) dan 15 buah motosikal Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sebagai signifikan kepada sambutan Hari Kebangsaan ke-62, konvoi KMJG 2019 meredah perjalanan sejauh 6,200 kilometer yang melibatkan sebanyak 62 hentian di Semenanjung Malaysia termasuk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. Sehingga hari ini, konvoi tersebut telah melalui 54 hentian dan perjalanan konvoi akan berakhir pada 16 September 2019.

Kontinjen Unit Tindakhas (UTK) turut serta berarak bersama aset kenderaan.
Kontinjen Unit Tindakhas (UTK) turut serta berarak bersama aset kenderaan.

Objektif utama konvoi itu diperkenalkan adalah untuk meningkatkan semangat patriotisme melalui Kibaran Jalur Gemilang dalam kalangan rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan. Selain itu, konvoi ini membawa mesej semangat cintakan negara yang diterjemahkan melalui tema 'Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih' yang digunakan pada sambutan tahun ini.

Terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan oleh pihak penganjur bagi menggalakkan orang ramai menyaksikan sambutan tersebut antaranya adalah perkhidmatan bas percuma di beberapa laluan terpilih bermula dari pukul 6 pagi sehingga 2 petang dengan kekerapan setiap 15 minit.

Persembahan khas Sayangi Malaysiaku & Malaysia Bersih oleh pelbagai lapisan usia dan kaum.
Persembahan khas Sayangi Malaysiaku & Malaysia Bersih oleh pelbagai lapisan usia dan kaum.

Turut disediakan adalah ruang tempat duduk khas untuk pengunjung khususnya bagi keselesaan warga emas serta wanita mengandung agar golongan itu turut tidak terlepas untuk menyaksikan sendiri pelbagai persembahan menarik itu nanti.

Sehubungan itu, orang ramai dijemput hadir beramai-ramai memeriahkan sambutan hari penuh bermakna bagi seluruh rakyat Malaysia itu.

Apa yang penganjur sediakan?

* Pengangkutan bas percuma (6 pagi hingga 2 petang)

* Tembakan meriam 14 das

* Ruang tempat duduk khas untuk pengunjung

* Pertunjukan lintas udara

* Perarakan berkuda