Kerajaan, pemaju cari titik persetujuan bagi projek di KL

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad (tiga,kiri) merasmikan Seminar Penyelarasan dan Penguatkuasaan Penggunaan Produk Biodegradasi di Wilayah Persekutuan di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (IDB) hari ini. - Foto Bernama
Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad (tiga,kiri) merasmikan Seminar Penyelarasan dan Penguatkuasaan Penggunaan Produk Biodegradasi di Wilayah Persekutuan di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (IDB) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Sebanyak 74 projek pembangunan di Kuala Lumpur yang sedang dikaji Pusat Sehenti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan diteruskan selepas kerajaan dan pemaju mencapai kata persetujuan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, berkata projek itu dihentikan kerana tidak mematuhi draf Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur (KLCP) 2020.

“Kami mengendalikan setiap projek dengan merit sendiri. Terdapat beberapa projek yang menerima kelulusan sepenuhnya, namun akan dihentikan kerana tidak sejajar dengan KLCP 2020.

“Justeru, kami mengambil kira tahap kelulusan projek yang dicapai. Selepas itu, kami akan berbincang dengan pemaju bagaimana untuk meneruskannya secara bertolak ansur,” katanya kepada pemberita selepas melawat Bukit Bintang City Centre (BBCC), di sini, hari ini.

Awal bulan ini, Khalid dilaporkan berkata, sebanyak 102 projek pembangunan diluluskan di bawah KLCP 2020 manakala 74 lagi masih dikaji.

Beliau berkata, sebanyak 74 projek masih disiasat untuk menentukan sama ada pemaju mematuhi atau melanggar syarat KLCP 2020 yang baru diwartakan.

Sementara itu, kerja pembangunan BBCC seluas 7.85 hektar masih diteruskan dengan kemajuan tapak bagi fasa satu mencecah 25 peratus setakat ini.

Fasa satu BBCC merangkumi pusat membeli belah dan podium runcit, pejabat strata dan pusat hiburan, dua blok pangsapuri perkhidmatan selain keseluruhan kerja infrastruktur termasuk terowong kenderaan bawah tanah.

Majlis penyerahan fasa pertama dijadualkan pada suku pertama 2021.
Artikel Berkaitan:


Projek BBCC dibangunkan bersama Eco World Development Group Bhd, UDA Holdings Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja secara usahasama 40:40:20. – Bernama