KPM nafi beli pembesar suara sekolah berharga tinggi dari pasaran

Maszlee
Maszlee
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan laporan sebuah blog yang memetik maklumat aplikasi Whatsapp seorang guru mempersoalkan harga pembelian pembesar suara di sekolahnya yang disifatkan terlalu mahal berbanding harga pasaran.

KPM dalam kenyataannya hari ini berkata, laporan di bawah tajuk 'Cikgu sekolah tampil mendedahkan RM80 juta dirompak dari Kementerian Pendidikan' itu adalah satu fitnah melampau yang berniat jahat.

Laporan seumpama itu bertujuan menjejaskan imej dan reputasi Dr Maszlee Malik selaku Menteri Pendidikan, KPM serta kerajaan baharu, katanya lagi.

"KPM tidak pernah dan tidak bercadang untuk membuat sebarang pembelian peralatan tersebut dalam jumlah yang begitu besar dengan harga yang tidak munasabah yang merugikan kerajaan dan wang rakyat terutama sejak Pakatan Harapan membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei lalu," jelas KPM lagi.

Tambah KPM, guru yang memuat naik hantaran berkenaan di laman sosial Facebook beliau pada 28 Disember juga telah mengakui kesilapannya. Dalam kenyataannya hari ini, guru berkenaan mengaku tersilap mendakwa hal tidak benar mengenai butiran harga alatan tersebut serta memohon maaf atas kekhilafan beliau.

Jelas kenyataan itu, siasatan dalaman KPM menunjukkan dua buah sekolah di Selangor yang baru dibuka pada Mei lalu telah masing-masing dibekalkan kemudahan seunit alat pembesar suara yang dibeli oleh Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dengan harga RM1,720 seunit dan bukanlah RM6,000 seunit sebagaimana didakwa.

Pembelian juga telah melalui proses perolehan yang teratur dan mengikut prosedur kewangan, kata KPM lagi. - Bernama

Artikel Berkaitan: