Nilai tinggi Greenland jadi rebutan

Nilai tinggi Greenland jadi rebutan. Gambar kecil; Marlissa Kamal.
Nilai tinggi Greenland jadi rebutan. Gambar kecil; Marlissa Kamal.
A
A
A

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tidak pernah lekang dengan timbunan kontroversi sejak beliau memegang jawatan di Rumah Putih pada 2016.

Hal apa lagi yang Trump cuba buat kali ini?

Di tengah-tengah perang perdagangan yang semakin meningkat dengan China, jutawan hartanah itu secara tiba-tiba menyuarakan hasrat untuk membeli Greenland, sebuah wilayah autonomi di bawah Denmark yang terletak antara Atlantik Utara dan Lautan Artik serta mempunyai populasi 56,000 penduduk.

Tidak semena-mena pulau berukuran dua juta kilometer persegi itu dengan Nuuk sebagai ibu negeri mendapat perhatian masyarakat dunia.

Banyak pihak melihat ia sebagai idea tidak masuk akal malah penasihat Trump sendiri turut menganggap ia sebagai bahan jenaka.

Sebagai respons terhadap perkara itu, Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen dengan tegas berkata, ‘Greenland bukan untuk dijual’.

Trump yang merancang lawatan rasmi ke Copenhagen pada bulan depan bertindak membatalkan kunjungan itu atas alasan tersinggung dengan kenyataan Frederiksen yang kononnya dianggap tidak sesuai.

Mengapa dalam banyak-banyak pulau di dunia, Trump ‘berminat’ dengan Greenland yang dilitupi 85 peratus ais? Apa motif sebenar beliau?Presiden ke-45 AS itu dikatakan memilih pulau terbesar di dunia itu kerana ia kaya dengan sumber semula jadi seperti arang batu, zink dan bijih besi.

Artikel Berkaitan:

Walaupun dianggap begitu, Greenland tetap bergantung kepada sokongan ekonomi Denmark selain mempunyai kadar bunuh diri, alkoholisme dan pengangguran yang tinggi.

Trump juga sebenarnya berminat dengan ‘nilai keselamatan’ Greenland kerana kedudukannya yang strategik dan terletak di laluan terus dari Eropah ke Amerika Utara.

Menurut Trump, jika pembelian Greenland itu menjadi kenyataan, ia bakal menjadi ‘satu perjanjian hartanah yang besar.’

Greenland pernah menjadi lokasi pertahanan AS paling penting ketika Perang Dunia Kedua dan Perang Dingin.

Pada masa ini, pangkalan tersebut menjadi sebahagian daripada misi NATO, operasi pemantauan satelit dan sistem pengesanan peluru berpandu yang strategik.

Idea itu merupakan isyarat kepada negara Artik dan China yang telah menunjukkan minat terhadap wilayah itu yang berpotensi menjadi laluan perkapalan utama apabila pentas ais mencair kesan daripada fenomena pemanasan global yang turut menyebabkan paras air lautnya meningkat 3.3 milimeter setiap tahun.

Rusia dikatakan ada menunjukkan ‘minat,’ namun ia belum membuat sebarang tuntutan terhadap wilayah terbabit manakala China mengambil langkah segera melancarkan strategi Laluan Sutera Polar pada Januari 2018 untuk memperluaskan pengaruh ekonominya melalui Artik.

Beijing sudah mula menghantar misi saintifik ke Greenland pada 2004 dan syarikat perlombongan negara itu turut mendapat kebenaran untuk melombong nadir bumi.

Tahun lalu, kumpulan yang disokong kerajaan China membuat tawaran untuk membina tiga lapangan terbang antarabangsa baharu di Nuuk yang mencetuskan pelbagai reaksi dari Washington dan Copenhagen.

Buah fikiran membeli Greenland itu pernah dinyatakan ketika AS di bawah pentadbiran Presiden ke-17, Andrew Johnson pada 1860-an.

Tetapi, tiada langkah rasmi dibuat sehingga 1946 apabila Harry Truman yang merupakan Presiden ke-33 AS menawarkan AS$100 juta (RM418 juta) dalam bentuk jongkong emas untuk pembelian wilayah itu.Ketika itu, beliau turut mencadangkan pertukaran tanah di Alaska untuk kawasan strategik di Greenland.

Kali terakhir AS membeli wilayah utama di Artik adalah melalui pembelian Alaska dari Rusia pada 30 Mac 1867 dengan harga AS$7.2 juta (RM30.1 juta).

Hari ini, Alaska adalah salah sebuah negeri terkaya di AS, hasil daripada sumber alam semula jadi seperti petroleum, emas, minyak dan ikan serta lokasi strategik sebagai ‘tingkap ke Rusia dan pintu ke Artik.’

Tentang isu Greenland ini, jelas sekali pendirian Denmark tegas bahawa wang tidak boleh beli segala-galanya.

*Marlissa Kamal ialah Wartawan Sinar Harian Edisi Global