X

Kindly register in order to view this article
!

Malaysia 50 tahun lagi

A
A

DIJANGKA 50 tahun lagi iaitu pada tahun 2070, Malaysia akan mempunyai sekitar 42 juta penduduk.

Komposisi pendudukan juga akan memperlihatkan perubahan.

Ketika itu dunia dikatakan menghampiri 10 bilion penduduk. Penganut Islam diramalkan mempunyai jumlah penganut paling ramai di dunia menjelang tahun 2070.

Dengan bilangan seramai itu mengingatkan kita kepada pesan Rasulullah SAW: “Hampir tiba suatu zaman di mana bangsa-bangsa daripada seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu (umat Islam) bagaikan orang yang kelaparan mengerumuni bekas hidangan mereka.

Lalu dalam kehairanan sahabat bertanya, “Apakah kerana kami sedikit pada hari itu?” Nabi SAW menjawab: “Bahkan kamu pada hari itu terlalu ramai, tetapi kamu umpama buih di lautan dan ALLAH akan mencabut rasa gentar terhadap kamu daripada hati musuh-musuh kamu, lalu ALLAH akan melemparkan ke dalam hati kamu penyakit ‘al-wahn’. Seorang sahabat bertanya, "apakah al-wahn itu, wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab “Cinta dunia dan takut mati.” (Riwayat Abu Daud).

Pesanan futuristik Rasulullah SAW itu suatu peringatan dengan berasbab.

Baginda sangat gusar dengan umatnya.

Umat yang diharap menjadi umat terbaik, bakal menghadapi keadaan yang lemah dan akan dikuasai orang lain.

Umat Islam hanya menjadi buih di lautan ketika mana penyakit yang diberi amaran awal tidak dipedulikan.

Setelah mencapai kemerdekaan, umat Islam diberi amanah untuk menerajui tanah air ini.

Pejuang kemerdekaan mengharapkan bumi bertuah ini dibangunkan untuk menjadi watan bagi melahirkan tamadun gemilang. Kegemilangan tamadun yang meliputi dan merangkumi segala kecemerlangan sebagai umat terbaik.

Perancangan untuk memajukan umat Islam di tanah air ini pastinya difikirkan oleh para perancang, ahli pakar, ahli pemikir dan ahli politik tanah air.

Segala rancangan pembangunan telah dilakar dan dilaksanakan sejak Malaysia mencapai kemerdekaan 62 tahun yang lalu.

Dalam proses mengisi kemerdekaan itu telah banyak yang digubal untuk memastikan kedudukan Islam dan umat Islam terjamin dan kukuh. Puluhan agensi kerajaan negeri dan pusat diwujudkan dengan peruntukan berbilion ringgit.

Institusi pendidikan Islam bercambah dan pelbagai usaha meningkatkan kualiti insan Muslim diprogramkan.

Dengan tidak menafikan banyak kemajuan dicapai, namun kualiti umat Islam masih dirunsingkan sehingga kini.

Jika diamati sejumlah data yang dikumpulkan untuk melihat keadaan sosial-budaya umat Islam masa kini, sangat meresahkan.

Gejala kerosakan akhlak yang berleluasa, ditambah fenomena keruntuhan institusi keluarga yang tidak terkawal.

Anak muda yang terbelit dengan gaya hidup hedonistik sehingga gejala korupsi dan jenayah kolar putih oleh pemimpin negara yang mencirikan wajah umat.

Sayang sekali sebuah watan yang dimerdekakan dengan keringat dan darah kini berdepan dengan kemelut pelbagai dimensi.

Umat Islam jelas berisiko menjadi buih yang hanyut oleh kencangnya gelombang global.

Gelombang yang menyemai gaya hidup tanpa akar, ilmu tanpa amal, pertumbuhan tanpa pengagihan, pembangunan tanpa roh. Lalu satu demi satu ciri umat mulai terungkai sehingga tidak lagi boleh dicontohi.

Jelas dalam keadaan umat yang semakin bertambah di 57 buah negara majoriti Islam, tidak banyak yang boleh dibanggakan.

Malah umat Islam yang sedemikian ramai ini kini diperkotak-katikkan sehingga satu demi satu negara Islam dihancurkan.

Jika Malaysia mahu menghindar daripada menjadi negara buih, maka perlu direnungkan dan dihayati ingatan Tuhan terhadap umat negeri Saba’ yang awalnya dijoloki sebagai negeri Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur, tetapi bertukar menjadi negara yang binasa: “Maka mereka berpaling ingkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan, dan Kami gantikan dua kumpulan kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kumpulan kebun yang berisi dengan pohon-pohon yang pahit buahnya, dan pohon-pohon yang jarang berbuah, serta sedikit pohon-pohon bidara." ( Surah Saba’: 16)


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!