Kempen pakai batik: Rais puji usaha Sinar Harian

Rais Yatim
Rais Yatim
A
A
A

KUALA LUMPUR – Usaha Sinar Harian memulakan pemakaian busana batik pada setiap Khamis diharapkan menjadi contoh terbaik kepada organisasi media lain, sektor korporat dan universiti.

Budayawan Nasional yang juga Pengerusi Yayasan Akal Budi, Tan Sri Dr Rais Yatim mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub kerana menghidupkan semula identiti kenegaraan menerusi pemakaian batik.

“Bagus dan tahniah, Sinar Harian harus diberikan lebih daripada ucapan tahniah kerana batik adalah pakaian tradisi negara kita.

“Bagi saya, apa yang dilakukan oleh Sinar Harian ini wajar dijadikan contoh,” katanya.

Rais yang juga bekas Menteri Kebudayaan dan Warisan berkata, bunga raya adalah bunga kebangsaan, namun tidak ditanam secara meluas, begitu juga dengan Harimau Malaya, spesies itu juga tidak dipelihara dengan baik, jadi apa salahnya jika batik dijadikan imej negara yang terus dimekarkan.

Selain mengangkat tradisi dan budaya, katanya, tradisi pemakaian batik juga dapat memajukan seni dan industri batik tempatan yang kini dimodenkan dengan motif kontemporari mengikut peredaran zaman.

“Ketika menjadi Menteri Kebudayaan dulu saya tidak berjaya menerapkan budaya pemakaian batik, kerana kebanyakan pemimpin masa itu lebih terikut budaya barat dengan memakai suit dan tali leher, sedangkan batik lebih sesuai dengan negara ini.

“Sekarang apabila Sinar Harian memulakan pemakaian batik, diharapkan dengan pengaruh dan liputan luas dapat dicontohi badan-badan media lain. Tahniah Sinar Harian kerana pelopori budaya tinggi negara,” katanya.

Artikel Berkaitan: