Saksi sahkan penukaran beberapa nama anak syarikat 1MDB

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Beberapa nama penting yang dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) dan pengarah syarikat dalam anak-anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah disebut dalam perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan dana 1MDB.

Antaranya ialah Nik Faisal Ariff Kamil, yang juga bekas CEO SRC International Sdn Bhd, Datuk Wan Ahmad Shihab Ismail Wan Ismail, pegawai khas kepada Perdana Menteri ketika itu (Najib) dan Arul Kandasamy.

Mahkamah Tinggi juga diberitahu tentang penukaran nama anak-anak syarikat 1MDB, pengarah syarikatnya, alamat syarikat antaranya Powertek Investment Holdings Sdn Bhd, Powertek Energy Sdn Bhd, Merpati Energy (Langat) Sdn Bhd and Mastika Lagenda Sdn Bhd.

Perkara itu disahkan Penolong Pendaftar Syarikat, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Rafidah Yahaya, 48, semasa ditunjukkan beberapa borang di bawah Akta Syarikat 1965 berhubung penukaran nama, alamat dan pengarah syarikat, pelantikan pengarah syarikat baharu dan juga syer syarikat oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam.

Mohamad Mustaffa: Merujuk borang 49 bertarikh 2 April 2015, berkenaan maklumat pengarah syarikat yang menyatakan pengarah baru (Powertek Investment Holdings Sdn Bhd) adalah Arul Kandasamy.

Rafidah: Ya betul

Mohamad Mustaffa: Merujuk borang 44 bertarikh 30 Okt 2015, boleh sahkan ia berkenaan maklumat pertukaran alamat syarikat.

Rafidah: Ya, betul.

Artikel Berkaitan:

Saksi pendakwaan ketujuh itu juga bersetuju bahawa pada 29 Feb 2012, Nik Faisal telah meletak jawatan sebagai pengarah syarikat Marvellous Intelligence Sdn Bhd.

“Ya, betul,” katanya kepada soalan pendakwaan bahawa terdapat pertukaran nama syarikat Marvellous Intelligence Sdn Bhd kepada 1MDB Energy (Langat) Sdn Bhd kepada Edra Energy (Langat) Sdn Bhd dan seterusnya kepada Merpati Energy Langat Sdn Bhd.

Saksi itu juga mengesahkan sebanyak 152 dokumen daripada 177 dokumen di bawah Akta Syarikat antaranya penukaran nama syarikat, nama pengarah dan setiausaha syarikat, penukaran syer dan pindaan memorandum syarikat yang dirujuk kepadanya pada perbicaraan kes itu.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis ember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Selasa. -Bernama