Ahli Kabinet kurang pengalaman cabaran besar PH

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah) mengikuti Wacana Sri Satria yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi. - Foto BERNAMA
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah) mengikuti Wacana Sri Satria yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi. - Foto BERNAMA
A
A
A

PUTRAJAYA - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan sedar mengenai naratif politik semasa di mana rakyat mengharapkan sesuatu yang luar biasa dilakukan dalam memenuhi harapan masyarakat.

"Itu memang biasa dalam apa-apa situasi dan bagi kita kemenangan yang dicapai juga merupakan satu kejutan.

"Apabila sudah mengambil alih kerajaan, barulah kami dapat tahu realiti sebenar bagaimana situasi dana dan hutang yang dimiliki negara," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Wacana Ilmu Sri Satria: Politik Melayu Islam Pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di sini hari ini.

Dr Wan Azizah akur kekurangan pengalaman pentadbiran yang dimiliki ahli Kabinet sekarang kecuali Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memaksa mereka mendepani naratif semasa politik dalam keadaan mencabar.

Timbalan Perdana Menteri bagaimanapun berkata kerajaan terus belajar serta mengambil kira semua aspek dan yakin pada akhirnya harapan rakyat boleh ditunaikan.

"Ini kali pertama kita (Malaysia) mengubah kerajaan, jadi berikan kami peluang dan masa untuk melaksanakan apa yang dihasratkan rakyat," katanya.

Berkenaan sama ada kerajaan Pakatan Harapan sedia menghadapi PRU15 jika mengambil kira naratif semasa politik tanah air, Dr Wan Azizah berkata ia masih awal untuk diperkatakan kerana tempoh untuk pilihan raya umum diadakan masih jauh.

Mengenai piagam UMNO-Pas yang akan dimeterai pada 14 September ini, Timbalan Perdana Menteri berkata kerjasama itu hanyalah satu perjanjian politik atas kepentingan parti politik berkenaan semata-mata, bukannya mencerminkan aspirasi rakyat.

Artikel Berkaitan:

Ia nyata berbeza dengan Pakatan Harapan yang mahu melakukan yang lebih baik melibatkan aspirasi rakyat keseluruhannya, katanya.

Wacana Ilmu Sri Satria hari ini menampilkan Timbalan Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berlangsung di Sri Satria, kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri. - Bernama