X

Kindly register in order to view this article
!

Pasang alat pengesan kualiti udara di SMK Tanjung Adang

- Foto Bernama
A
A

JOHOR BAHRU - Alat pengesan kualiti udara bakal dipasang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Adang dekat Gelang Patah, di sini dalam masa terdekat.

Timbalan Pengarah Pendidikan (Pengurusan Sekolah) negeri, Ab Rahim Lamin berkata, pemasangan alat tersebut diharap menjadi petunjuk supaya tindakan segera dapat diambil.

"Jabatan Alam Sekitar (JAS) hari ini ada memohon kebenaran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk memasang alat pengesan kualiti udara di SMK Tanjung Adang.

"Kami sangat mengalu-alukannya (pemasangan alat pengesan kualiti udara) kerana kedudukan SMK Tanjung Adang dengan kawasan kebakaran hanya 50 meter sahaja dan diharap ia dapat membantu untuk memberi petunjuk terhadap kualiti udara supaya tindakan segera dapat diambil.

"Setakat ini, pihak kami difahamkan kebakaran masih belum lagi terpadam sepenuhnya," katanya kepada Sinar Harian.

Ab Rahim berkata, bagaimanapun, peratus kedatangan untuk SMK Tanjung Adang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Adang setelah dibuka semalam sangat baik iaitu melebihi 90 peratus.

"Setakat ini, keadaan terkawal dan sesi persekolahan juga berjalan seperti biasa. Cuma masih terdapat bau asap.

"Kita telah nasihatkan pelajar supaya terus memakai penutup hidung dan mulut sekiranya melakukan aktiviti di luar kelas," katanya.

Mengenai sesi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang akan berlangsung bermula 4 September depan melibatkan murid Tahun Enam SK Tanjong Adang, beliau memberitahu segalanya akan berjalan mengikut seperti dijadual.

"Jika dapat maklumat ada arahan tertentu, kita bersedia mengikut prosedur operasi standart (SOP) yang ditetapkan," katanya.

Isnin lepas SMK Tanjung Adang dan SK Tanjong Adang diarahkan ditutup selepas bacaan kualiti udara didapati berada pada paras tidak sihat selepas kejadian kebakaran di Kampung Pekajang dekat Gelang Patah di tanah seluas kira-kira 16 hektar sejak 21 Ogos lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua sekolah itu dibuka semula semalam.

Sementara itu, Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Mohamad Faizul Selamat berkata, pihaknya masih bertungkus lumus memadamkan kebakaran membabitkan seramai 140 anggota dan aset JBPM serta dibantu pelbagai agensi lain di hari kesembilan operasi.

“Kekuatan anggota dan aset sama seperti semalam. Kita yakin keluasan pemadaman dapat ditingkatkan lagi hari ini.

"Kita masih meneruskan teknik ‘banjir sepenuhnya’, semburan langsung serta ‘fire break’ iaitu mewujudkan parit berair bagi mengelakkan api merebak ke kawasan lain," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!