27 perokok berjaya henti merokok

Juliana (duduk, tiga dari kiri) bersama sebahagian kakitangan HSB dan bekas klien klinik berkenaan dalam Sambutan Hari Pendidikan Kesihatan 2019 di lobi HSB hari ini.
Juliana (duduk, tiga dari kiri) bersama sebahagian kakitangan HSB dan bekas klien klinik berkenaan dalam Sambutan Hari Pendidikan Kesihatan 2019 di lobi HSB hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Seramai 27 klien Klinik Berhenti Merokok (KBM) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) berjaya berhenti merokok dalam tempoh enam bulan berturut-turut pada tahun ini.

Ketua Unit Pendidikan Kesihatan HSB, Juliana Abdullah berkata, KBM merupakan perkhidmatan disediakan bagi membantu dan memudahcara perokok untuk berhenti merokok dengan teknik terapi modifikasi tingkah laku dalam tempoh enam bulan.

"Perkhidmatan berkenaan disediakan bagi membantu klien berhenti merokok dan kekal tidak merokok dalam tempoh kohort enam bulan.

"Antara objektif lain, ialah meningkatkan pengetahuan dan kemahiran klien untuk berhenti merokok secara komprehensif, sekaligus mengekalkan klien dalam tahap positif untuk mengelakkan berulang," katanya kepada media selepas Sambutan Hari Pendidikan Kesihatan 2019 di lobi HSB di sini hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini, seramai 101 klien telah mendaftar dengan klinik berkenaan bagi kohort Januari hingga Jun 2019.

"Daripada jumlah itu, kira-kira 53 klien menetapkan tarikh untuk berhenti merokok, manakala 27 klien telah berjaya berhenti merokok dalam tempoh enam bulan berturut-turut.

"Seramai 86 klien berdaftar dengan KBM pada kohort Januari hingga Disember 2018 dengan 44 klien menetapkan tarikh untuk berhenti merokok dan 23 klien berjaya berhenti merokok dalam tempoh enam bulan berturut-turut," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap dapat meningkatkan rujukan klien ke KBM, menaikkan bilangan klien menetapkan tarikh berhenti dan pertambahan bilangan klien yang berjaya berhenti merokok pada tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, seramai 20 bekas perokok yang berjaya berhenti merokok melalui perkhidmatan KBM di HSB menerima cenderahati dan sijil.

Turut diadakan beberapa aktiviti seperti demonstrasi masakan, ceramah pengambilan alkohol dan merokok serta pengurusan stres dalam program anjuran Unit Pendidikan Kesihatan HSB itu.