Ahli Majlis MPAG positif ganja

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Shahrul Laili Masduki meninjau tapak karnival selepas merasmikan Karnival Usahawan Era Digital (KUED) di Parkir Pasaraya Mydin MITC, Ayer Keroh di sini hari ini.
Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Shahrul Laili Masduki meninjau tapak karnival selepas merasmikan Karnival Usahawan Era Digital (KUED) di Parkir Pasaraya Mydin MITC, Ayer Keroh di sini hari ini.
A
A
A

MELAKA - Seorang ahli majlis di Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) disahkan positif dadah jenis ganja selepas ujian saringan air kencing dilakukan terhadap individu terbabit malam tadi.

Ahli Majlis berusia 39 tahun itu yang juga memegang jawatan pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) datang sendiri ke Balai Polis Masjid Tanah kira-kira jam 9.45 malam.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Shahrul Laili Masduki berkata, individu terbabit datang ke balai polis setelah terdapat aduan beliau terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

"Individu terbabit bukan ditangkap sebaliknya menyerah diri kepada pihak polis. Setakat ini ujian saringan awal mendapati beliau positif dadah jenis ganja namun kami masih menunggu keputusan daripada Jabatan Patalogi," katanya.

Shahrul Laili berkata, hasil siasatan individu terbabit tiada rekod lampau dan dipercayai mengambil dadah untuk kegunaan sendiri.

"Ahli Majlis terbabit kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Terdahulu, Shahrul Laili merasmikan Karnival Usahawan Era Digital (KUED) di Parkir Pasaraya Mydin MITC, Ayer Keroh di sini hari ini.

Menurutnya, karnival bertujuan untuk mencegah jenayah menerusi penggunaan sistem digital My Smart Shopper (MSS) terutama di sektor perniagaan di negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Menerusi penggunaan sistem digital ini ia bukan sahaja dapat mengurangkan kos operasi malah mewujudkan transaksi tanpa wang 'cashless' di antara peniaga dan pelanggan sekaligus dapat mengurangkan kadar jenayah," katanya.