Putrajaya lulus RM24.75 juta projek infrastruktur di Pahang

Mohamed Azmin (empat dari kiri) bersama Wan Rosdy pada Majlis Penyerahan Mock Cheque dan Surat Kelulusan Projek Menaik Taraf Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di masjid berkenaan hari ini.
Mohamed Azmin (empat dari kiri) bersama Wan Rosdy pada Majlis Penyerahan Mock Cheque dan Surat Kelulusan Projek Menaik Taraf Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di masjid berkenaan hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM24.75 juta bagi projek menaik taraf infrastruktur yang amat diperlukan di negeri ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, permohonan peruntukan itu dibuat Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada awal tahun ini dan diluluskan sepenuhnya pada Julai lalu.

"Antara projek yang telah diluluskan seperti menaik taraf Pasar Awam Kuantan, medan selera dan keperluan-keperluan lain di Kuantan.

"Kita melihat ini menjadi tanggungjawab Persekutuan untuk menampung dan membangunkan infrastruktur tersebut yang diperlukan oleh Pahang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Mock Cheque dan Surat Kelulusan Projek Menaik Taraf Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 kepada Wan Rosdy di masjid berkenaan hari ini.

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Datuk Seri Abdul Wahid Wan Hassan; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Imam Masjid Negeri, Datuk Badli Shah Alauddin.

Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi menaik taraf Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini.

Mohamed Azmin berkata, peruntukan itu antara lain bagi tujuan kerja-kerja pendawaian elektrik baharu, audio visual dan membaiki bumbung yang bocor.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ia adalah usaha bersama untuk melihat institusi masjid dan surau dapat terus diimarahkan menerusi aktiviti dan program yang diatur oleh pengurusannya.

"Sudah tentu untuk menjayakan usaha ini kita memerlukan kemudahan yang lebih baik apatah lagi ini adalah Masjid Negeri yang menjadi tumpuan bagi umat Islam di negeri ini.

"Masjid ini menerima ramai jemaah dan ia memerlukan kerja-kerja menaik taraf oleh kerana masjid ini sudah berusia," katanya

Beliau berkata, kementeriannya bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri mengambil masa kira-kira dua minggu untuk meneliti permohonan yang dikemukakan kerajaan negeri dan pengurusan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 sebelum meluluskan peruntukan berkenaan.

Sementara itu, Wan Rosdy berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan yang meluluskan peruntukan itu dalam tempoh singkat selepas permohonan dibuat kira-kira dua minggu lepas semasa Mohamed Azmin berada di negeri ini untuk menghadiri Sesi Libat Urus Penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 dengan kerajaan negeri.