Cadangan Pengajian Am ke tingkatan empat, lima diperhalusi

Kesemua panel bergambar bersama Timbalan Pengerusi IDE, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman (berdiri, lima dari kiri) selepas selepas Sidang Meja Bulat Undi 18 Tahun dan Pendidikan Demokrasi: Cabaran Terhadap Iklim Politik Negara di IDE hari ini.
Kesemua panel bergambar bersama Timbalan Pengerusi IDE, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman (berdiri, lima dari kiri) selepas selepas Sidang Meja Bulat Undi 18 Tahun dan Pendidikan Demokrasi: Cabaran Terhadap Iklim Politik Negara di IDE hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Bahagian Pembangunan Kurikulum Kementerian Pendidikan akan meneliti semua aspek termasuk cadangan menurunkan mata pelajaran Pengajian Am ke tingkatan empat dan lima bagi mendidik pelajar tentang aspek kenegaraan secara menyeluruh.

Pengarahnya, Dr Mohamed Abu Bakar berkata, pihaknya mengambil maklum tentang cadangan yang dikemukakan berkaitan perkara itu.

Beliau berkata, ketika ini, mata pelajaran Pengajian Am dibuat di tingkatan enam dan bagi pelaksanaan mata pelajaran itu di tingkatan empat dan lima, pihaknya akan melihat semula bagaimana ia boleh diamalkan.

Katanya, untuk kokurikulum pendidikan masa depan, pihaknya akan selidik dari semua aspek sama ada terdapat keperluan untuk mata pelajaran itu dibuat sebagai mata pelajaran sivik atau diperkenalkan sebagai subjek demokrasi.

"Kita akan dapatkan pandangan pakar-pakar dari universiti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masyarakat, badan swasta terlebih dahulu termasuk melihat arah negara kita.

"Kita kena lihat secara menyeluruh sebelum membuat apa-apa keputusan termasuk juga dalam isu mengurangkan mata pelajaran," katanya pada sidang akhbar selepas Sidang Meja Bulat Undi 18 Tahun dan Pendidikan Demokrasi: Cabaran Terhadap Iklim Politik Negara di Institut Darul Ehsan (IDE) hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas cadangan menurunkan mata pelajaran Pengajian Am oleh Ketua Jabatan Pengajian Kemasyarakatan dan Kewarganegaraan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Norazlan Hadi Yaacob.

Cadangan Norazlan itu turut mengambil kira agar pengundi berusia 18 tahun ke atas memahami proses pembentukan negara Malaysia, bukan keluar mengundi semata-mata.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohamed berkata, bagaimanapun buat masa ini apa yang boleh dilakukan pihaknya adalah dengan membuat penyelarasan (alignment) secara menyeluruh dalam beberapa mata pelajaran termasuk Sejarah dan Pendidikan Sivik sejak Jun lalu.

"Sebab bukan mudah untuk ubah kurikulum dan kalau nak bina ambil masa dua ke tiga tahun.

"Jadi kita buat penyelarasan dalam Pendidikan Sivik di mana dengan memberi penekananan kepada murid tingkatan empat dan lima serta mata pelajaran Sejarah itu sendiri, "katanya.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Azmi Sharom, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Mohd Najwan Halim dan Exco Majlis Belia Malaysia, Mohd Fared Mohd Khalid.

Sementara itu, Norazlan memberitahu cadangan penurunan tersebut perlu dipertimbangkan kerana mata pelajaran Pengajian Am sangat penting bagi memberi kesedaran dan kefahaman tentang aspek pembentukan negara kepada golongan muda.

"Nama Pengajian Am boleh diubah mungkin jadi pengajian Malaysia, pengajian kenegaraan tapi isinya tetap ada...Mungkin isi di tambah sedikit tentang Malaysia termasuk sistem pentadbiran secara holistik.

"Tapi kita faham kekangan dihadapi kementerian, tidak boleh lagi menambah subjek buat masa sekarang," katanya.