Najib tandatangan dokumen sebabkan nama TIA ditukar kepada 1MDB

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu Datuk Seri Najib Tun Razak telah menandatangani beberapa dokumen yang menyebabkan Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) ditukar nama kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada September 2009.

Penolong Pendaftar Syarikat, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Rafidah Yahaya, 48, mengesahkan perkara itu ketika dirujuk borang 13 di bawah Akta Syarikat 1965 iaitu Sijil Pemerbadanan bagi pertukaran nama syarikat tersebut pada 25 September 2009.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam pada hari kedua perbicaraan Najib yang didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama.

Saksi pendakwaan ketujuh itu berkata, beliau telah menerima permohonan mendapatkan maklumat mengenai TIA atau 1MDB pada 28 Mei 2018 oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Farid Ismail.

Lembaga Pengarah 1MDB, kata beliau, turut menambah Artikel 117 dalam resolusi syarikat TIA pada 2 September 2009 yang telah ditukar nama kepada 1MDB pada bulan sama, di mana syarikat adalah jenis Berhad dan syernya mengikut syer syarikat awam.

Antara dokumen lain yang disahkan saksi itu ialah dokumen pelantikan pengarah TIA bertarikh 18 Mei 2009.

"Pada awal penubuhan TIA, pengarahnya terdiri daripada YAM Tengku Rahimah Puteri binti Almarhum Sultan Mahmud Al Mukhtafi Billah Shah, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Tan Sri Ismee Ismail.

"Kemudian pada 28 Ogos 2009, satu lagi borang pelantikan pengarah telah dihantar kepada SSM yang menyatakan penambahan beberapa lagi pengarah TIA iaitu Datuk Mohd Bakke Salleh, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin dan Tan Sri Azlan Zainol," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mengesahkan borang 49 yang menyatakan peletakan jawatan Mohd Bakke sebagai pengarah dan pengerusi 1MDB pada akhir 2009 dan pelantikan Tan Sri Ong Gim Huat sebagai salah seorang pengarah 1MDB.

Gim Huat merupakan rakan perniagaan kepada bapa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, Tan Sri Larry Low.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Selasa. - Bernama